4 mayat ditemui terapung di Perak, mungkin ada unsur jenayah, kata APMM

4 mayat ditemui terapung di Perak, mungkin ada unsur jenayah, kata APMM

Sehingga kini, APMM tidak menerima sebarang aduan berhubung orang jatuh laut mahupun permohonan bantuan perubatan di laut, berdasarkan penemuan mayat terbabit.

Antara mayat yang ditemui komuniti maritim kira-kira 9.05 pagi di kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, Kepulauan Sembilan. (Gambar APMM)
IPOH:
Tiga mayat wanita dan satu mayat lelaki ditemui terapung di kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, Kepulauan Sembilan, Pulau Pangkor, Lumut pagi tadi.

Pengarah Maritim Perak, Shahrizan Raman berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri (PUSOP) menerima maklumat awal berhubung penemuan empat mayat itu oleh komuniti maritim kira-kira 9.05 pagi.

“Dalam pada itu, aduan sama turut diterima di talian MERS 999 dan MRSC Langkawi, seterusnya disalurkan kepada Maritim Perak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang menjalankan rondaan rutin Op Tanjung diatur gerak ke lokasi dan menemui semua mayat tanpa identiti kira-kira 2.08 petang.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak menerima sebarang aduan berhubung orang jatuh laut mahupun permohonan bantuan perubatan di laut berdasarkan penemuan mayat terbabit.

“Maritim Perak tidak menolak kemungkinan kejadian ini terdapat unsur-unsur jenayah di laut dan siasatan lanjut akan dilaksanakan,” katanya.

Shahrizan berkata, keempat-empat mayat itu dibawa ke jeti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kampung Acheh dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau menggesa komuniti maritim membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan jika keadaan mendesak, orang ramai diminta mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut ketika ini tidak menentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.