
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata ketika diserbu lebih 300 pelanggan berada di dalam restoran berkenaan, walaupun ia sebenarnya hanya boleh memuatkan kira-kira 100 pelanggan.
“Kita kenakan kompaun RM1,000 seorang ke atas semua yang hadir dan juga pemilik restoran,” katanya dan menambah premis itu pernah ini diserbu polis pada malam sambutan Hari Krismas lepas, juga bagi kesalahan melanggar SOP.
Beliau berkata demikian ketika ditemui tengah malam tadi semasa memantau operasi khas polis sempena sambutan Tahun Baharu selama 12 jam bermula pukul 6 petang semalam di sini.
Merujuk kepada operasi berkenaan, katanya daripada 2,938 kenderaaan yang diperiksa 274 saman bagi pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan, manakala daripada 3,637 individu yang diperiksa, polis menahan 23 individu berumur 17 hingga 46 tahun atas pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.
Sementara itu di Johor Bahru, seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan, kedua-duanya berumur 16 tahun, adalah antara 167 individu yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), dalam pemeriksaan di dua pusat hiburan di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata kesemua mereka yang berumur antara 16 dan 66 tahun ditahan dalam serbuan pukul 12.15 malam ke atas pusat hiburan di Taman Molek dan Taman Johor Jaya itu.
“Hasil serbuan juga mendapati kedua-dua premis ini tiada Lesen Hiburan Awam dan melanggar SOP Fasa Empat PPN,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata secara keseluruhannya kompaun berjumlah RM157,000 dikeluarkan pihaknya menerusi dua serbuan itu mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.
Di Pulau Pinang pula polis menahan 253 individu kerana pelbagai kesalahan termasuk mengadakan “private party” untuk sambutan Tahun Baru 2022 di sebuah pusat hiburan dalam Ops Ambang Tahun Baharu 2022 yang dijalankan di seluruh negeri itu, tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Rahimi Ra’ais berkata operasi bermula pukul 9 malam tadi hingga 4 pagi tadi melibatkan kolaborasi semua jabatan di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan turut melibatkan lima buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kontinjen negeri.
Beliau beliau berkata secara keseluruhannya 8,164 individu dan sejumlah 4,929 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan.
Katanya polis mengeluarkan 1,301 saman serta menyita 52 buah motosikal di atas pelbagai kesalahan trafik, di samping menahan tiga individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata pihaknya memeriksa 400 motosikal sebelum menahan 44 penunggang berusia 20 hingga 30 tahun kerana pelbagai kesalahan antaranya mengubah suai kenderaan tersebut dalam operasi semalam.
Katanya bertindak hasil risikan dan maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) menyerbu empat inap desa yang dipercayai lokasi geng motosikal jenis Yamaha RXZ itu berkumpul bagi menguji kelajuan motosikal masing-masing di sini, pukul 4 petang.