Kadar kematian individu tak divaksin 43 kali ganda lebih tinggi, kata kajian

Kadar kematian individu tak divaksin 43 kali ganda lebih tinggi, kata kajian

Analisis kajian jenis vaksin dan status membabitkan kematian disebabkan Covid-19 di negara ini antara Feb dan Sept tahun lalu, mendapati kadar kematian mengikut usia adalah 47.5 daripada 100,000 penduduk bagi kumpulan tidak divaksin.

Kajian mendapati kadar umur piawaian kematian (ASMR) Covid-19, adalah 47.5 daripada 100,000 penduduk bagi kumpulan tidak divaksin.
PETALING JAYA:
Kajian di negara ini mendapati korban akibat Covid-19 dalam kalangan rakyat tidak divaksin 43.2 kali ganda lebih tinggi, berbanding penerima dos lengkap Pfizer.

Menurut dapatan dikeluarkan portal berita kesihatan, CodeBlue, individu tidak menerima vaksin juga mempunyai kadar kematian 12.5 kali ganda lebih tinggi, berbanding penerima dos lengkap Sinovac.

Katanya, analisis kajian jenis vaksin dan status membabitkan kematian disebabkan Covid-19 di negara ini antara Feb dan Sept tahun lalu, mendapati kadar kematian kematian mengikut usia (ASMR) Covid-19, adalah 47.5 daripada 100,000 penduduk bagi kumpulan tidak divaksin.

Hasil kajian yang dijalankan Nur Asheila Abdul Taib dll itu diterbitkan dalam journal kesihatan, ‘The Lancet – Regional Health Western Pacific’ pada 1 Jan.

Kajian menganalisis 20,823 kematian akibat Covid-19 antara 24 Feb hingga 14 Sept, tahun lalu. Umur median mangsa yang meninggal dunia adalah 61 tahun.

Dalam kalangan individu lengkap divaksin pula, jumlah kematian Covid-19 bagi penerima Sinovac adalah 3.8 daripada 100,0000 penduduk, lebih tinggi berbanding penerima Pfizer, yang direkodkan 1.1 daripada 100,000 penduduk.

Menurut dapatan laporan berkenaan, individu menerima dos lengkap Sinovac menyumbang 58.7% atau 3,577 kematian akibat Covid-19 bagi tempoh sama, berbanding 31.5% (1,919) dalam kalangan penerima dos lengkap Pfizer, dan 9.6% (582) bagi penerima dos lengkap AstraZeneca.

Bagi kumpulan yang sedia mempunyai masalah kesihatan, kadar kematian adalah 8.9 kali ganda lebih tinggi berbanding penerima Pfizer tanpa komorbiditi, manakala 4.1 kali ganda berbanding penerima Sinovac, dan 1.5 kali ganda bagi penerima AstraZeneca.

Selain itu, CodeBlue, melaporkan kajian juga mendapati 24% kematian lebih kerap berlaku dalam kalangan mereka berusia 60 hingga 69 tahun, lelaki dan mempunyai komorbiditi (72.3%).

“Kajian kami juga bersetuju dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi pengambilan dos ketiga kepada individu berusia 60 tahun ke atas yang menerima vaksin tidak diaktifkan.

“Bukti dari Hong Kong menunjukkan kepekatan antibodi peneutral berbeza antara penerima vaksin yang tidak aktif (lebih rendah) dan Pfizer (lebih tinggi), menunjukkan potensi berbeza dalam keberkesanan vaksin,” kata laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.