
Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 3 petang tadi, namun bomba bertindak pantas berjaya mengawal api daripada merebak ke seluruh bangunan tiga tingkat itu.
Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 petang dan bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, seramai 26 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam terbabit dalam operasi pemadaman itu.
“Kami mendapati api sedang marak di tingkat tiga kilang tersebut dan sehingga kini anggota bomba giat operasi memadam kebakaran itu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, bagaimanapun tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.
“Jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.