Perjalanan umrah ditangguh sebulan, kata KJ

Perjalanan umrah ditangguh sebulan, kata KJ

Ini bagi membolehkan kajian dan pemantauan penilaian risiko jangkitan Omicron Covid-19.

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju menangguhkan semua perjalanan umrah selama sebulan bermula 8 Jan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan perkara itu selepas Kabinet bermesyuarat semalam, dengan tempoh sebulan itu bagi membolehkan penilaian risiko penularan wabak Covid-19 varian Omicron dilakukan.

“Jemaah Menteri semalam bersetuju penangguhan sementara diteruskan untuk tempoh sebulan dan akan membuat penilaian risiko, sebelum perjalanan umrah dibenarkan semula bagi mereka yang ingin ke Tanah Suci selepas itu,” katanya pada sidang media.

Untuk rekod, Khairy turut memaklumkan, daripada 1,842 kes positif yang dikesan di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Disember 2021, pengembara Arab mencatatkan jumlah paling tinggi positif Covid-19.

Ini diikuti Turki dengan 85 kes, Emiriah Arab Bersatu (50) dan United Kingdom (47).

“Ini adalah data yang telah pun dikemukakan kepada Jemaah Menteri semalam dalam satu taklimat yang telah diberikan oleh Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan, yang menunjukkan bahawa kes positif Covid-19 yang paling banyak yang kita kesan di pintu masuk antarabangsa KLIA,” katanya.

“Itulah sebab Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat keputusan untuk kita tangguhkan sementara sahaja ibadah umrah bagi kita memperlahankan penularan jangkitan Covid-19 terutamanya yang melibatkan varian Omicron.”

Khairy dalam masa sama turut menjelaskan, perbincangan penangguhan ibarat itu akan membabitkan kerjasama Arab Saudi dan Konsulat Malaysia di negara berkenaan sebelum perjalanan umrah kembali dibenarkan.

“Beri peluang untuk kita perketatkan lagi SOP jemaah dari Malaysia, menerusi perbincangan dengan Arab Saudi, agensi pelancongan, kementerian berkaitan dan konsulat di sana.

“Kita akan buka semula perjalanan umrah dengan lebih selamat, tetapi bukan sekarang kerana terlalu banyak kes jangkitan Covid-19 terutama varian Omicron,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.