(VIDEO) Polis kesan budak Rohingya ‘samseng’ minta sedekah di jalanan

(VIDEO) Polis kesan budak Rohingya ‘samseng’ minta sedekah di jalanan

Dalam satu video tular kelihatan kanak-kanak itu pergi ke satu kereta ke kereta lain untuk meminta sedekah daripada pengguna jalan raya dalam keadaan agresif.

Kanak-kanak dipercayai berketurunan Rohingya pergi dari satu kereta ke kereta lain untuk meminta sedekah. Polis yakin kejadian itu berlaku di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat rakaman video tular memaparkan seorang kanak-kanak dipercayai berketurunan Rohingya sedang meminta sedekah di jalanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya sedang menjalankan usaha mengesan kanak-kanak berkenaan.

Dalam video pendek itu, kelihatan kanak-kanak berkenaan pergi dari satu kereta ke kereta lain untuk meminta sedekah daripada pengguna jalan raya dengan cara agresif.

Saiful percaya insiden itu berlaku di Kuala Lumpur.

Dalam kenyataannya beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mana-mana orang menyebabkan atau mengakibatkan kanak-kanak itu berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud mengemis dan menerima sedekah adalah melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Saiful berkata, selain itu kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 283 Kanun Keseksaan (bahaya atau galangan di jalan awam atau di haluan pelayaran awam).

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM400,” katanya.

Katanya, Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Peminta-peminta sedekah) juga boleh digunakan bagi tujuan siasatan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 atau dipenjarakan tidak lebih sebulan atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.