
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, juga mahukan Azam “direhatkan” sehingga siasatan itu selesai dan namanya dibersihkan.
“Dewan Pemuda PAS mengikuti rapat isu melibatkan tuduhan-tuduhan terhadap (SPRM), termasuk melibatkan pegawai tertinggi SPRM yang dilihat boleh menjejaskan kredibiliti serta komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah dan memperkukuhkan integriti yang sedang diusahakan kini.
“Pemuda PAS memandang serius isu ini dan ianya menjadi suatu kewajipan kepada pihak kerajaan, terutama kepada pimpinan Perdana Menteri untuk mengambil langkah segera dan mengadakan siasatan secara bebas dan terbuka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata siasatan terhadap pegawai tertinggi SPRM itu penting bagi memastikan ketelusan, selain membuktikan keseriusan kerajaan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Pemuda PAS percaya perkara ini harus diambil serius oleh kerajaan bagi menangkis persepsi buruk kepada kerajaan dan negara, serta memastikan integriti terus terpelihara,” kata Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Hari ini, Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata ia akan mendapatkan penjelasan daripada Azam susulan sidang akhbarnya semalam.
Pada sidang media itu, Azman mengaku adiknya, Nasir, menggunakan akaun dagangan beliau untuk membeli saham.
Laporan media sebelum ini mendakwa pembelian itu melibatkan lebih 4 juta saham dan waran dua syarikat tersenarai awam antara 2015 dan 2016.
Azam mendakwa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dengan membenarkan adiknya menggunakan akaunnya.
SC menegaskan setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat perlu dibuat atas nama pemilik benefisial sekuriti didepositkan.
Katanya, akaun itu juga boleh dibuka atas nama “penama yang diberi kuasa”.
Semalam, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku berhubung pembelian saham syarikat.