Sidang khas Dewan Rakyat bincang bencana banjir 20 Jan

Sidang khas Dewan Rakyat bincang bencana banjir 20 Jan

Perdana Menteri berkata, sidang khas itu demi mendalami kesusahan rakyat terkesan dengan banjir.

Sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Jan ini penting untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan tindakan dan perancangannya bagi menangani banjir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dewan Rakyat akan mengadakan sidang khas untuk membincangkan bencana banjir pada 20 Jan ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas itu demi mendalami kesusahan rakyat terkesan dengan banjir.

“Mesyuarat khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara, iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.

“Pelaksanaan mesyuarat khas ini telah disembah maklum dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, sidang khas itu penting untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat tindakan dan perancangan bagi menangani banjir.

“Sesi ini juga adalah platform terbaik untuk Ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir.”

Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan kerajaan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan isu banjir.

Katanya, sidang itu juga membolehkan wakil rakyat memberikan pandangan serta cadangan bagi membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik.

Pada 31 Dis lalu, Pakatan Harapan menggesa kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen, khusus untuk menjelaskan ‘kegagalan’ dalam menangani banjir besar yang melanda negara.

Katanya, suara rakyat kedengaran di media sosial amat lantang mengkritik respons Jemaah Menteri yang sangat lembab atau dilihat setakat ‘berwayang’ tanpa benar-benar membantu mangsa banjir, termasuk di Sabah, iaitu di Tenom pada Mei dan Penampang pada September lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.