Tommy Thomas enggan beri kerjasama, timbul persoalan ada campur tangan politik dalam AGC, dakwa Zahid

Tommy Thomas enggan beri kerjasama, timbul persoalan ada campur tangan politik dalam AGC, dakwa Zahid

Bekas Peguam Negara itu enggan memberi kerjasama kepada pasukan petugas khas yang dibentuk menyiasat buku tulisannya, sambil menegaskan ia boleh menjejaskan kebebasan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, berkata Tommy Thomas sepatutnya bersikap lebih ‘gentleman’ dan berani mengambil tanggungjawab terhadap kandungan buku memoirnya sendiri.
PETALING JAYA:
Keenganan Tommy Thomas memberi kerjasama kepada pasukan petugas khas berhubung dakwaan dibangkitkan dalam bukunya, menimbulkan persoalan campur tangan politik berlaku dalam institusi Pejabat Peguam Negara (AGC), kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Pasukan petugas khas itu yang dibentuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, tahun lalu, diberi tanggungjawab menyiasat pendedahan dibuat sama ada, secara tidak sengaja atau secara sengaja, dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Thomas sebelum ini, dilaporkan berkata, beliau tidak berhasrat memberi kerjasama, sambil menegaskan jawatan Peguam Negara mengikut perlembagaan dan pasukan petugas itu boleh menjejaskan kebebasan Pejabat Peguam Negara.

“Pasukan (petugas) khas ini menetapkan suatu preseden yang berbahaya dengan meletakkan risiko kepada kebebasan jawatan peguam Negara. Saya perlu melindungi penyandang dan bakal peguam-peguam negara.

“Penyertaan saya dalam pasukan khas akan mengesahkan tujuannya yang tidak berperlembagaan dan akan menetapkan preseden berbahaya yang akan memudaratkan kesemua mereka. Ini bercanggahan dengan kepentingan awam,” katanya melalui surat kepada Pengerusi Pasukan Petugas Khas Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri Fong Soo Chung, Jumaat lalu.

Dalam kenyataannya, Zahid berkata, pendedahan dibuat Tommy menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, kehakiman dan keselamatan semasa negara di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Tommy Thomas sepatutnya bersikap lebih “gentleman” dan berani mengambil tanggungjawab terhadap kandungan buku memoirnya sendiri.

” (Beliau) membantu supaya kebenaran terungkai kerana sebagai bekas Peguam Negara, beliau sepatutnya lebih memahami “justice” adalah tentang kebenaran,” katanya.

Zahid berkata, negara memerlukan jawapan kepada segala persoalan di sebalik pendedahan menerusi buku berkenaan kerana ia membabitkan maruah serta keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.