Pelarian Myanmar: Malaysia cari penyelesaian fokus aspek pendidikan

Pelarian Myanmar: Malaysia cari penyelesaian fokus aspek pendidikan

Menteri Luar berkata, pendidikan penting bagi mengelakkan golongan itu terbabit masalah sosial atau jenayah, selain memudahkan mereka dipilih negara ketiga.

Anak pelarian Rohingya mengikuti pembelajaran di Rohingya Integrated School of Excellence di Kajang pada Oktober 2019. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Luar (Wisma Putra) memberi penekanan kepada aspek pendidikan dalam membantu mencari penyelesaian bagi isu pelarian Myanmar di negara ini, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

“Pendidikan sangat penting bagi mengelakkan mereka terbabit dalam masalah sosial atau jenayah di sini, selain memudahkan mereka dipilih negara ketiga,” katanya selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2022 kementeriannya, di sini.

“Sebahagian besar mereka memang tak berniat menetap di Malaysia. Mereka jadikan Malaysia sebagai tempat persinggahan dan mengharapkan diterima negara ketiga, tetapi negara ketiga pun pilih dan salah satu kriteria ialah mereka itu ada sedikit sebanyak pendidikan.”

Saifuddin berkata, Wisma Putra sedang melihat kaedah memperkasa dan menambah dana kepada sekolah pelarian yang dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan anak pelarian Rohingya di negara ini tidak tercicir daripada pendidikan.

“Dana bukan daripada rakyat atau kerajaan, tetapi dana yang boleh dicari daripada sumber luar, contohnya antara yang banyak bagi dana adalah Yayasan Qatar.”

Selain itu, katanya, isu pelarian Rohingya di negara ini perlu ditangani secara menyeluruh dan kolektif oleh agensi dan kementerian berkaitan.

Beliau berkata, Wisma Putra sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) serta agensi lain membabitkan isu Rohingya di negara ini.

“Ingin saya ingatkan Malaysia bukan ‘signatory’ (penandatangan) kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tetapi kita memainkan peranan seolah-olah kita ‘signatory’.”

Isu pelarian Rohingya sekali lagi dibangkitkan baru-baru ini, selepas satu klip video seorang kanak-kanak Rohingya memarahi orang ramai yang tidak memberi wang sedekah kepadanya tular di media sosial.

Sebelum itu, seorang pelarian Rohingya, Abd Hamim Ab Hamid, 33, yang dikenali sebagai Long Tiger, dilaporkan meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Dis lalu. Lelaki itu kemudiannya diberkas semula pada 28 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.