Sekatan bersasar cerminkan pendekatan adil

Sekatan bersasar cerminkan pendekatan adil

Langkah PTPTN mampu memastikan kelangsungan skim pembiayaan dan dana pendidikan disalurkan secara lebih cekap.

ptptn menara
PTPTN sentiasa berunding dengan peminjamnya untuk melancarkan proses pembayaran dan perjalanan ke luar negara.
PETALING JAYA:
Sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam mampu tetapi culas membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disifatkan langkah tegas bersasar untuk memastikan kelangsungan skim pembiayaan itu.

Malah mereka yang turut meliputi peminjam bekerja di luar negara itu telah diberi ruang mencukupi berunding sebelum tindakan tegas terbabit diambil.

Pemimpin pelajar Danish Suhailey berkata PTPTN sebagai sebuah agensi yang memberi peluang kepada masyarakat meningkatkan tahap kehidupan menerusi pembiayaan pendidikan perlu terus berkemampuan meneruskan operasinya.

Danish Suhailey
Danish Suhailey.

Namun menurutnya, agensi itu berdepan risiko tidak lagi mampu membiayai pinjaman pendidikan sekiranya pembayaran balik kurang memuaskan terutama di kalangan peminjam yang berkemampuan tetapi culas membuat bayaran balik pinjaman.

“Namun telah ada tindakan secara bersasar khusus kepada peminjam berpendapatan tinggi selain mereka yang boleh bayar tetapi mengelak,” kata naib yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia itu kepada FMT.

Beliau merujuk kepada pengumum Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2026 iaitu peminjam PTPTN yang mampu bayar atau bekerja di luar negara, tetapi culas membuat bayaran balik akan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara mulai Januari 2026.

Anwar yang juga menteri kewangan turut mengumumkan biasiswa PTPTN melibatkan 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun.

Menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2036, jumlah penerima bantuan itu ditingkatkan daripada 5,800 kepada 10,000 orang setahun.

Menyentuh biasiswa PTPTN kepada pelajar dari keluarga miskin itu, Danish menyambut baik inisiatif terbabit yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan sosial.

“Dari sudut ekonomi boleh tingkat kebolehpasaran graduan dan tenaga mahir.

“Pelajar yang mendapat biasiswa itu juga boleh belajar dengan tenang tanpa perlu fikir masalah kewangan,” katanya.

Sementara itu, Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyeru orang ramai merancang kewangan dengan lebih teliti dan tidak mengabaikan tanggungjawab membayar hutang susulan penguatkuasaan itu.

Khalid Harun
Mohd Khalid Harun.

Menurut Presidennya Mohd Khalid Harun, keadaan itu juga termasuk kepada mereka yang ingin menunaikan umrah atau haji di tanah suci.

“Pada prinsipnya, MATA memahami keperluan kerajaan untuk memastikan disiplin kewangan dan tanggungjawab peminjam terhadap institusi kewangan serta dana awam terus dipelihara.

“Tanggungjawab untuk melaksanakan bayaran pinjaman PTPTN adalah satu amanah yang perlu dipandang serius oleh setiap individu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini MATA percaya PTPTN bersedia berunding dengan peminjam untuk memastikan urusan semua pihak berjalan lancar.

“Rundingan sentiasa terbuka dengan syarat peminjam tunjuk komitmen membayar balik pinjaman mengikut jadual,” katanya.

Sementara itu, Provost dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Barjoyai Bardai berkata pendekatan bersasar diambil kerajaan mampu mengurangkan beban subsidi pukal dan memastikan dana pendidikan disalurkan secara lebih cekap.

Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai.

“Dari sudut kelestarian fiskal, pendekatan ini mengurangkan risiko kecairan PTPTN dan membolehkan pengagihan dana dibuat mengikut kemampuan kewangan negara berbanding pemberian terbuka.” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Bagi peminjam PTPTN, Khairul Azman, 24, berkata pembiayaan PTPTN telah membantu ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian sehingga menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Jadi selepas telah bekerja dan berkemampuan, elok bayar pinjaman secara konsisten supaya lebih ramai dapat dibantu pada masa depan.

“Tindakan seperti sekatan perjalanan harus dilaksanakan supaya dapat memberi peringatan kepada peminjam culas tegar agar tidak terus mengabaikan tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.