Kanak-kanak pelarian boleh jadi aset berharga negara, kata NGO

Kanak-kanak pelarian boleh jadi aset berharga negara, kata NGO

Pengasas pusat pembelajaran alternatif jelaskan mangapa kerajaan perlu sediakan akses pendidikan untuk kanak-kanak pelarian.

refugee student
Lebih 58,000 kanak-kanak pelarian dan pencari suaka di Malaysia dipercayai tercicir daripada pendidikan formal, kata Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Farah Nini Dusuki.
GEORGE TOWN:
Kerajaan perlu memberi kanak-kanak pelarian akses kepada pendidikan kerana sebahagian daripada mereka berbakat dan mungkin suatu hari nanti boleh menjadi aset berharga kepada negara, kata sebuah NGO.

Dr Lim Yew Lyn dari Selfless Together, yang mengendalikan dua pusat pembelajaran alternatif di Pulau Pinang untuk kanak-kanak Rohingya, berkata beliau mendapati ramai kanak-kanak pelarian yang rajin dan berbakat.

Dr Lim Yew Lyn
Dr Lim Yew Lyn.

“Kanak-kanak ini boleh menyumbang kepada negara kita. Satu-satunya perkara yang kerajaan perlu lakukan ialah mengenali kanak-kanak pelarian ini. Mereka perlu melihatnya sendiri.

“Saya benar-benar fikir kanak-kanak ini adalah aset besar kepada negara kita, jika diberi peluang. Jika kita tidak mendidik mereka, ia boleh membawa kesan sebaliknya,” katanya kepada FMT.

Lim berkata kerajaan boleh membenarkan kanak-kanak ini menduduki peperiksaan awam atas dasar kemanusiaan.

Beliau mengulas cadangan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Farah Nini Dusuki, supaya kerajaan menubuhkan badan khusus untuk memantau dan mengiktiraf sekolah alternatif, sekali gus membolehkan pelajar pelarian menduduki peperiksaan awam seperti SPM.

Farah Nini mendedahkah lebih 58,000 kanak-kanak pelarian dan pencari suaka di Malaysia dipercayai tercicir daripada pendidikan formal.

Selain itu, dua pertiga daripada 34% kanak-kanak pelarian berdaftar di pusat pembelajaran alternatif masih tidak mempunyai akses kepada sebarang bentuk pendidikan formal.

Lim berkata kerana kanak-kanak pelarian dan pencari suaka tidak boleh menduduki peperiksaan Malaysia, mereka hanya boleh mengambil IGCSE (Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa United Kingdom), namun peperiksaan itu terlalu mahal untuk pusat pembelajaran.

Beliau berkata penuuhan sebuah badan yang diiktiraf akan memudahkan pusat pembelajaran mendaftarkan pelajar untuk peperiksaan awam.

“Lebih ramai kanak-kanak juga akan berminat untuk belajar, dan kita boleh mendidik lebih ramai pelarian. Kewujudan badan seperti itu akan meringankan beban banyak pusat pembelajaran, bukan hanya pusat saya,” katanya.

Mumtaaz Begum dari Pusat Pembelajaran Pelarian Helping Hands mencadangkan penubuhan sebuah badan kawal selia dan pengiktirafan khusus untuk sekolah alternatif.

Katanya, badan seperti itu boleh membantu pusat pembelajaran seperti miliknya mewujudkan rangka kerja akreditasi dan pengiktirafan rasmi.

“Ini akan membolehkan pelajar dari golongan pelarian mengakses peperiksaan kebangsaan dan penilaian standard, di samping menyediakan laluan latihan guru yang tersusun serta pembangunan profesional,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, badan seperti itu juga boleh memudahkan akses kepada sumber, pembiayaan dan sokongan institusi untuk pusat pembelajaran.

Pengetua pusat pembelajaran yang berpangkalan di Bukit Mertajam itu juga berkata badan sedemikian adalah penting sebagai langkah progresif ke arah pendidikan inklusif serta integrasi sosial jangka panjang kanak-kanak pelarian di negara ini.

Mumtaaz Begum
Mumtaaz Begum.

Mumtaaz berkata kira-kira separuh daripada 120 murid di sekolahnya berada dalam datang dari keluarga miskin dan tidak mampu membayar yuran sekolah.

Katanya, ramai daripada mereka, sebahagiannya seawal usia 13 tahun, terpaksa bekerja untuk menyara keluarga, manakala pelajar perempuan pula berisiko dikahwinkan seawal usia sekitar 13 tahun.

“Angka 58,000 itu bukan sekadar statistik; ia mewakili ribuan zaman kanak-kanak yang terjejas dan memerlukan tindakan segera serta terselaras,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.