Muhyiddin dah vaksin ketika tunai umrah, kata pegawai khas

Muhyiddin dah vaksin ketika tunai umrah, kata pegawai khas

Mohd Naaim Mahmod menjelaskan bekas Perdana Menteri itu dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi.

Ketika itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin Covid-19 atau vaksin lain untuk pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi, kata pegawai khas Muhyiddin Yassin. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan seorang pendakwah terhadap beliau yang tidak mendapat suntikan lengkap vaksin Covid-19 dan Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan umrah, Mac tahun lalu.

Pegawai Khas Muhyiddin, Mohd Naaim Mahmod menjelaskan, bekas Perdana Menteri itu dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi.

Katanya, Muhyiddin juga menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air, manakala vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.

“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin Covid-19 atau vaksin lain untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi.

“Selain itu, lawatan kerja rasmi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 ke Arab Saudi diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada SOP ketat termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan. Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi negatif Covid-19,” katanya menerusi Facebook rasmi Muhyiddin.

Baru-baru ini, pendakwah itu menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad untuk menyiasat Menteri Alam Sekitar dan Air yang didakwa mengerjakan umrah tanpa vaksinasi Meningococcal Meningitis.

Ia sebagai reaksi balas terhadap Idris yang menyelarnya atas pengakuan melakukan ibadat itu dan membawa jemaah umrah tanpa vaksinasi Meningococcal Meningitis.

Dalam klip videonya, pendakwah itu turut memberitahu Muhyiddin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin Covid-19 atau vaksin Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan umrah.

Naaim berkata, pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi dalam suatu gelembung perjalanan yang ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.