Tiada istilah perayaan Hari Agama Sedunia, kata menteri

Tiada istilah perayaan Hari Agama Sedunia, kata menteri

Idris Ahmad meminta umat Islam terus mengukuhkan keimanan untuk menjadi hamba Allah yang taat serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Poster ‘Selamat Menyambut Hari Agama Sedunia’ yang memetik ayat 13 surah al-Hujurat tular di media sosial, tetapi sudah dipadamkan susulan bantahan pelbagai pihak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menegaskan tiada istilah perayaan Hari Agama Sedunia, selepas poster berhubung sambutan itu tular di media sosial hari ini.

Beliau meminta umat Islam terus mengukuhkan keimanan untuk menjadi hamba Allah yang taat serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Tiada istilah berkenaan perayaan Hari Agama Sedunia. Ianya jelas dan ianya wajib diimani,” tulisnya di Facebook.

Idris turut memetik ayat 19 surah Al-Imran: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim menerusi Facebooknya berkata: “Sambutan Hari Agama Sedunia adalah inisiatif dan cadangan agama Bahai.”

Terdahulu, poster “Selamat Menyambut Hari Agama Sedunia” yang memetik ayat 13 surah al-Hujurat tular di media sosial dan mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk tokoh agama yang menentang idea sambutan itu.

Tetapi, hasil pemeriksaan mendapati poster itu sudah dipadamkan, dengan individu yang memuat naiknya berkata, beliau berbuat demikian susulan reaksi kurang baik dan demi menghormati teguran pelbagai pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.