Hakim saran AJK masjid mandikan remaja seperti jenazah mohon maaf

Hakim saran AJK masjid mandikan remaja seperti jenazah mohon maaf

Saranan itu dibuat supaya kes berkenaan menjadi pengajaran dan menjernihkan keadaan antara semua pihak.

Video Daniel Iskandar dimandikan seperti jenazah yang tular di media sosial.
SHAH ALAM:
Hakim Mahkamah Tinggi Abd Halim Aman menyarankan ahli jawatan kuasa (AJK) masjid terbabit kontroversi memandikan remaja seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid, memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat umum.

Beliau berkata, itu adalah satu daripada dua saranan dibuat olehnya supaya kes itu menjadi pengajaran dan menjernihkan keadaan antara semua pihak.

Selain itu, Halim menyarankan pihak yang merakam video kejadian terbabit dan menyebarkannya sehingga tular juga memohon maaf.

“Ini bukan satu perintah, tetapi hanyalah satu saranan,” katanya.

Terdahulu, beliau memerintahkan remaja itu, Daniel Iskandar, 19, menjalankan khidmat masyarakat di masjid sebanyak 120 jam selama enam bulan, sekali gus mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang minggu lalu.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat, manakala pesalah muda itu diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy.

Turut serta peguam Haniff Khatri Abdulla, Muhammad Hariz Yusoff, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Muhammad Mustaqim Ahmad Huzaini bagi Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), manakala Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie sebagai peguam pemerhati bagi Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang.

Sementara itu, Hariz berkata saranan Halim supaya keluarga Daniel, pihak masjid dan orang yang menularkan video kejadian berkenaan mengadakan pertemuan akan diaturkan PPMM dalam masa terdekat.

Katanya, PPMM akan menyelesaikannya dalam tempoh seminggu dengan cara baik.

“Itu kita harapkan. Saya akan bawa saranan hakim ke pimpinan PPMM untuk dapat arahan lanjut. Sekiranya tidak ada halangan, PPMM akan hubungi pihak tersebut untuk selesai cara baik,” katanya.

Terima permohonan maaf masjid

Dalam pada itu, ibu Daniel, Jasma Rosli, 41, berkata, beliau akan menerima permohonan maaf daripada pihak masjid.

Katanya, sebarang saranan dan keputusan oleh hakim hari ini adalah untuk kebaikan semua pihak.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong, beri bantuan dan prihatin kepada Daniel. Tak ada masalah (terima permohonan maaf). Kita sebenarnya punca. Kalau sama-sama dua pihak nak bermaafan bagus dan jadikan pengajaran,” katanya.

Jasma tidak akan menyalahkan mana-mana pihak dan mengakui kesalahan dilakukan anaknya itu adalah daripada kecuaiannya yang gagal mendidik.

“Saya akui kesilapan sehingga dia terabai. Saya tak salahkan mana-mana pihak. Itu kecuaian saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.