Video tular dikejar polis ketika pemeriksaan, identiti lelaki dikenal pasti

Video tular dikejar polis ketika pemeriksaan, identiti lelaki dikenal pasti

Polis akan membuat tangkapan ke atas lelaki itu dengan kadar segera untuk siasatan mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, suspek yang melarikan diri sudah dikenal pasti dan polis akan membuat tangkapan ke atas lelaki itu dengan kadar segera untuk siasatan mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang videonya dikejar seorang anggota polis trafik bagi mengelak daripada ditahan dalam kejadian dekat Kampung Gaung, Pasir Mas, semalam sudah dikenal pasti.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, lelaki berusia 20-an terbabit meloloskan diri dengan memasuki semak yang terletak bersebelahan tempat kejadian.

Klip video berdurasi 20 saat itu tular menerusi media sosial sejak malam tadi, memaparkan lelaki berkenaan sedang berlari sambil dikejar anggota polis trafik.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, lelaki berkenaan meloloskan diri dalam semak dan gerakan mengesannya sedang dijalankan kerana identitinya sudah dikenal pasti.

Katanya, sebelum kejadian itu, anggota polis trafik membuat penugasan pemeriksaan mengejut di lokasi, sebelum menahan sebuah kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki bersama dua penumpang.

“Ketika ditahan, pada mulanya ketiga-tiga suspek berusia 21 hingga 37 tahun itu memberi kerjasama, tetapi selepas diarahkan ke bahu jalan, kenderaan terbabit terus memecut laju, manakala seorang lagi suspek melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

“Bagaimanapun, seorang suspek berusia 37 tahun berjaya ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan lapor Berita Harian.

Nasaruddin berkata, dua lelaki, iaitu pemandu, Mohamad Afiq Saiedi, 21, dan suspek yang berlari sambil dikejar anggota polis itu dikenali sebagai Mohd Naim Azmi beralamat Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah.

Beliau berkata, saringan awal air kencing terhadap suspek yang ditahan mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai empat rekod kesalahan lampau, termasuk berkaitan dadah.

“Suspek yang melarikan diri sudah dikenal pasti dan polis akan membuat tangkapan ke atas lelaki itu dengan kadar segera untuk siasatan mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.