Seleweng dana MITRA, SPRM tahan 22 termasuk pengarah syarikat

Seleweng dana MITRA, SPRM tahan 22 termasuk pengarah syarikat

Mereka ditahan di beberapa negeri bagi membantu siasatan berkenaan geran peruntukan MITRA dari tahun 2019 hingga 2021.

SPRM mengenal pasti 337 syarikat, persatuan dan NGO diluluskan geran peruntukan tersebut berjumlah kira-kira RM203 juta.
PUTRAJAYA:
Pengarah syarikat dan presiden persatuan adalah antara 22 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi di tujuh negeri, semalam, bagi membantu siasatan penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Menurut sumber SPRM, mereka juga terdiri daripada setiausaha persatuan dan pertubuhan itu ditahan dalam operasi di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta Melaka.

Enam individu yang ditahan itu, kini direman selama empat hingga enam hari, bermula hari ini selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret di Selangor, Kedah dan Putrajaya, manakala bakinya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sebelum ini, kata sumber itu, SPRM mengenal pasti 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah diluluskan geran peruntukan tersebut sejak tahun 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Menurut sumber itu, tumpuan siasatan SPRM dalam fasa awal adalah terhadap 27 syarikat, persatuan dan NGO yang telah menerima peruntukan antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Pada Oktober 2021, SPRM menahan 18 individu membabitkan 10 syarikat, persatuan dan NGO bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan itu.

Sumber itu berkata, dalam operasi MITRA 2.0 pula, ia menumpukan kepada 17 syarikat dan pertubuhan yang tergolong dalam kumpulan penerima dana berjumlah RM1 juta hingga RM9 juta.

Menurut sumber itu, SPRM juga bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberi tumpuan terhadap syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM1 juta.

“Fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan MITRA dari tahun 2019 hingga 2021,” katanya.

Oktober tahun lalu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago meminta Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique menjelaskan di mana dana berjumlah RM9.1 juta daripada MITRA dibelanjakan.

Halimah pada 9 Oktober lalu, dilaporkan berkata, Kementerian Perpaduan Negara bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung isu yang tular berkaitan geran kewangan MITRA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.