
Pejabat Setiausaha Agung SAINS dalam kenyataan berkata, JPPM memaklumkan penolakan itu Jumaat lalu selepas beberapa bulan permohonan dihantar.
“Bagaimanapun jabatan itu tidak memberikan sebarang alasan mengenai penolakan pendaftaran SAINS.
“SAINS mengutuk sekeras-kerasnya keputusan JPPM yang menolak permohonan kami tanpa sebarang sebab,” katanya.
Katanya, pihak penaja SAINS akan membuat rayuan kepada JPPM susulan keputusan penolakan itu dan menggesa keputusan balas dibuat secepat mungkin.
“Sekiranya rayuan tersebut mengekalkan keputusan asal JPPM (menolak pendaftaran Sains), Badan Eksekutif Pusat (BEP) memutuskan untuk menggunakan semua saluran undang-undang sedia ada untuk mempertahankan hak berpersatuan seperti termaktub dalam Perkara 10 (1)(C) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Penubuhan SAINS pada awalnya menumpukan dasar utama untuk membasmi kemiskinan melalui pendapatan bulanan golongan bawahan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan lestari selari dengan seruan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, Naib Presiden MUDA, Lim Wei Jiet, berkata keputusan berkenaan “tidak boleh diterima” bagi badan kerajaan untuk membuat keputusan yang menjejaskan orang ramai tanpa memberikan sebab.
“Ini adalah perkara asas bawah undang-undang dan ini kerap diberi penekanan oleh kami. Ia prasyarat kepada akauntabiliti dan tadbir urus yang baik,” katanya di Twitter.
“Saya harap perkara ini dibawa ke mahkamah,” tambah peguam itu.
MUDA mengambil masa agak lama sebelum pendaftaran diluluskan iaitu sejak Sept 2020, ketika parti itu ditubuhkan.
Bagaimanapun, proses itu berakhir hujung bulan lalu dan secara rasmi didaftar oleh JPPM selepas tiga kali membawa kes itu ke mahkamah.