
Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, rundingan yang sedang berjalan membabitkan Amanah, PKR serta DAP negeri terlebih dahulu.
Katanya, ia akan disusuli perbincangan bersama parti lain yang menyertai kerjasama gabungan PH Johor membabitkan MUDA, Pejuang dan Warisan.
“Kekosongan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) gabungan PH Johor membabitkan Bersatu pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) menjadi isu utama yang perlu diselesaikan.
“Pada PRU14, Bersatu bertanding 18 kerusi DUN Johor dan memenangi lapan kerusi. Amanah pula bertanding 12 kerusi serta memenangi sembilan kerusi, manakala PKR bertanding 12 kerusi dan memenangi lima kerusi.
“Formula PH Johor adalah mudah sahaja, iaitu mengekalkan parti yang menang pada PRU14 di kerusi akan ditandingi pada PRN kali ini, dengan syarat meletakkan calon boleh menang. Namun bagi 18 kerusi membabitkan Bersatu sebelum ini, ia perlu diselesaikan secara muafakat dalam PH Johor.
“Amanah, PKR serta DAP mengadakan mesyuarat dan rundingan antara parti sedang berjalan. Kita menjangkakan ia selesai esok,” katanya, menurut laporan BH.
Selain itu Dzulkefly berkata, penglibatan MUDA, Pejuang dan Warisan sangat penting dalam PRN Johor kali ini.
“Ia bukan sahaja memberikan dinamika berbeza dalam gabungan PH Johor, malah dijangka mampu memberi saingan terhadap pakatan lain, termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Parti pembangkang perlu menjadi blok yang kuat. Tidak semestinya semua perlu menjadi komponen PH, namun pembangkang perlu bekerjasama supaya tidak berlaku pertembungan yang akhirnya merugikan pembangkang.
“Oleh itu, PH Johor akan berbincang serta memperhalusi kerusi yang bakal diberi kepada MUDA, Pejuang dan Warisan.
“PH Johor juga dijangka mengadakan sidang media dalam masa terdekat untuk mengumumkan kerjasama dalam kalangan pembangkang bagi menghadapi PRN nanti,” katanya.