
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Nancy Shukri, berkata, keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara perjalanan umrah yang berkuat kuasa 8 Jan lalu, susulan penularan jangkitan varian Omicron.
Bagaimanapun beliau berkata, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan penarikan semula penangguhan itu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah.
“Baru tadi kami buat keputusan seperti mana dinyatakan dahulu yang penangguhan perjalanan umrah hanya satu bulan sahaja jadi bermula 8 Feb ini bolehlah agensi pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah dan inilah yang sudah diputuskan hari ini oleh Kabinet.
“SOP baharu akan dibincang bersama agensi pelancongan umrah kerana kita mahu pastikan apabila balik (dari Tanah Suci) nanti mereka (jemaah) dapat pilih di mana mereka nak dikuarantinkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan menangguhkan perjalanan umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Jan lalu, berikutan penularan jangkitan varian Omicron.
Mengenai penerbangan pertama bagi jemaah umrah bermula 8 Feb ini, Nancy berkata, ia belum diputuskan.
“Tapi mungkin agensi pelancongan umrah sudah mengetahui sebab kami juga sudah adakan perjumpaan dengan mereka tidak sampai dua minggu lalu.
“Saya rasa mereka sudah membuat persediaan untuk aktiviti atau promosi mereka selanjutnya,” katanya.