Mayat wanita tak berseluar ditemui di perangkap sampah pintu air

Mayat wanita tak berseluar ditemui di perangkap sampah pintu air

Mayat wanita dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan tangan diikat.

Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih kurang tujuh hari lepas dan tiada kecederaan fizikal luaran dikesan, menurut polis.
SHAH ALAM:
Polis menemui mayat seorang wanita dalam keadaan tidak berseluar di perangkap sampah kunci air Sungai Kandis, dekat sini, pada Selasa (25 Jan), 10.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut daripada penjaga kunci pintu air berkenaan.

Katanya, wanita itu dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an, ditemui dalam keadaan tangan diikat dan disyaki seluar mangsa digunakan untuk mengikat tangannya.

“Identiti wanita itu masih belum dikenal pasti. Mangsa memakai baju tanpa lengan berwarna hitam dan terdapat sebentuk cincin batu berwarna merah di jari manis kirinya. Ketinggian mangsa lebih kurang 150cm, rambut beruban dan bergigi jarang.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih kurang tujuh hari dan tiada kecederaan fizikal luaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Baharudin berkata, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes ASP Shazrin (03-55202022) bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.