517,107 kanak-kanak daftar untuk vaksin Covid-19

517,107 kanak-kanak daftar untuk vaksin Covid-19

Angka itu merangkumi kira-kira 15% daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.

Dilaporkan sebelum ini bahawa pelancaran dos vaksin untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan bermula esok di hospital dan pusat vaksin bersepadu, di Lembah Klang. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Seramai 517,107 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka untuk menerima vaksin Pfizer Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi Twitternya berkata, angka itu merangkumi kira-kira 15% daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.

“Permulaan yang baik dan @KKMPutrajaya (Kementerian Kesihatan) akan terus menyampaikan maklumat mengenai faedah mendapatkan suntikan vaksinasi,” katanya.

Khairy berkata, beliau berharap hampir separuh daripada kanak-kanak di Malaysia akan mendapatkan suntikan vaksin menjelang akhir bulan ini.

CITF-C (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak) bawah pengawasan timbalannya Dr Noor Azmi Ghazali akan bekerja keras bersama Kementerian Pendidikan, katanya.

Beliau berkata, pautan bagi tempahan Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) telah dimuat naik berdasarkan tarikh pendaftaran, dan ibu bapa yang tidak menerima pautan akan mendapatkannya tidak lama lagi.

Khairy turut memuat naik info grafik mengenai pendaftaran PICKids yang menunjukkan Selangor mempunyai jumlah pendaftaran tertinggi setakat semalam dengan 131,500 kanak-kanak mendaftar, manakala Labuan mencatatkan pendaftaran terendah dengan 900 kanak-kanak.

Beliau dalam twit semula memaklumkan di twit vaksin Covid-19 bahawa pautan bagi tempahan janji temu vaksin untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun kini dikeluarkan secara berperingkat menerusi aplikasi MySejahtera untuk ibu bapa atau penjaga di Lembah Klang yang telah mendaftarkan anak mereka di aplikasi tersebut.

Dilaporkan sebelum ini bahawa pelancaran dos vaksin untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan bermula esok di hospital dan pusat vaksin bersepadu, di Lembah Klang.

Sejumlah empat juta kanak-kanak berumur bawah 12 tahun di Malaysia layak menerima vaksin itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.