
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Penguasa Bomba Pasir Mas Shapawi Setapa berkata kejadian kebakaran berpunca daripada enjin di bahagian hadapan kereta api yang membawa 13 gerabak penumpang itu dan berjaya dipadamkan pada pukul 1.44 pagi tadi.
“Dua jentera dari balai bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah serta turut dibantu anggota bomba sukarela Rong Chenok dan anggota polis daripada Balai Polis Tok Uban melibatkan kira-kira 30 orang.
“Kesemua penumpang seramai 180 orang berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Kereta api tersebut telah dibawa ke stesen Pasir Mas untuk tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha, dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kebakaran itu dapat dipadamkan pada 12.20 tengah malam oleh pasukan bomba Pasir Mas dan Tanah Merah.
“Semua penumpang juga selamat dikeluarkan dengan bantuan kakitangan dan anggota Polis Bantuan KTMB yang bertugas sementara menunggu kebakaran dipadamkan.
“Kebakaran ini tidak membabitkan nyawa penumpang di dalam tren serta pemandu yang bertugas kerana ia hanya berlaku di bahagian enjin lokomotif dan tidak merebak ke gerabak penumpang,” menurut kenyataan itu.
Zain berkata, semua gerabak berkenaan kemudiannya ditarik dengan lokomotif bantuan ke Stesen Pasir Mas, manakala penumpang yang terjejas dapat meneruskan perjalanan dengan selamat ke destinasi masing-masing pada 2.46 pagi.