Terjun dari tingkat 12 selepas tikam isteri hingga mati

Terjun dari tingkat 12 selepas tikam isteri hingga mati

Suspek berusia 54 tahun dikatakan bertengkar dan kemuncak dia menikam isteri menggunakan sebilah pisau.

Seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman di kawasan flat kediaman mereka di Paya Trubong hari ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Seorang lelaki parah selepas terjun dari tingkat 12 sebuah kondominium sejurus menikam isterinya hingga mati dalam kejadian di Air Itam, Paya Terubong, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Saravanan Velu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Saravanan Velu berkata, penduduk menemui lelaki berusia 54 tahun itu berlumuran darah di tingkat bawah sebuah kondominium pada jam 7.40 pagi.

Beliau berkata, pada jam 12.30 tengah hari, seorang wanita meminta bantuan polis selepas mendapati rumah anak perempuannya berkunci.

“Polis kemudian menemani wanita itu untuk membuka pintu menggunakan kunci pendua,” katanya.

Katanya, sebaik pintu dibuka, dia menemui mangsa berusia 46 tahun terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil dengan kesan tikaman di paha dan leher.

“Polis turut menemui sebilah pisau dipercayai digunakan untuk menikam mangsa. Kami percaya wanita itu terlibat dalam pertengkaran dengan suaminya sebelum dia ditikam,” katanya.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, ketika kejadian, anak lelaki pasangan itu berusia 18 tahun berada di rumah nenek mereka.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

“Pasangan itu bekerja di sebuah kilang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.