Semua calon PN lalui proses tapisan ketat, kata Hamzah

Semua calon PN lalui proses tapisan ketat, kata Hamzah

56 calon PN pada pilihan raya negeri (PRN) Johor perlu bersih dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, kes mahkamah atau mempunyai masalah dengan LHDN.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin, berkata pembahagian kerusi belum dimuktamadkan kerana terdapat pertukaran pada saat akhir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) akan memastikan semua 56 calon mereka pada pilihan raya negeri (PRN) Johor bersih dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, kes mahkamah atau mempunyai masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin, berkata mereka akan melalui proses tapisan ketat sebelum disenaraikan sebagai calon PRN tersebut.

“Kita akan pastikan calon-calon daripada semua parti komponen diteliti semua rekod mereka, sama ada pernah terlibat dengan kegiatan jenayah, kes mahkamah atau ada masalah dengan LHDN.

“Lepas itu baru kita umumkan secepat mungkin, mungkin minggu depan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Berkenaan pembahagian kerusi PN, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu, berkata proses itu masih belum dimuktamadkan kerana terdapat pertukaran kerusi pada saat akhir.

Berkenaan dakwaan PAS tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi, beliau berkata, perkara itu sekadar khabar angin dan kebenarannya hanya diketahui pihak yang menyebarkan cerita tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.