Jeffrey ketuai jawatankuasa khas warga asing Sabah

Jeffrey ketuai jawatankuasa khas warga asing Sabah

Jawatankuasa berkenaan berfungsi mencari kaedah terbaik menangani pekerja asing tanpa izin dan tanggungan mereka di negeri itu.

Jeffrey Kitingan berkata Sabah dibanjiri dengan kemasukan pendatang asing tanpa izin. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan dilantik sebagai pengerusi bagi mengetuai jawatankuasa khas pekerja asing tanpa izin dan warga asing di negeri ini, yang baharu dibentuk.

Jawatankuasa berkenaan ditugaskan mengumpul dapatan daripada agensi penguatkuasaan, pemain industri termasuk pemimpin komuniti dan politik, tentang kaedah terbaik menangani pekerja asing tanpa izin dan tanggungan mereka di Sabah.

“Sabah dan kerajaan persekutuan bersetuju pendatang asing tanpa izin wajib didakwa dan diusir segera,” kata Kitingan dalam kenyataan, hari ini.

“Kita sedang dibanjiri dengan kemasukan pendatang yang mengambil pekerjaan yang tidak diingini rakyat kita.

“Mereka masuk tanpa disedari. Kita langsung tidak mempunyai idea siapa atau di mana atau apa yang mereka lakukan. Sekiranya kita tidak mengetahui aktiviti mereka, rakyat terdedah kepada ancaman keselamatan selain kesihatan.”

Antara kaedah dicadangkan kerajaan persekutuan baru-baru ini bagi memantau pendatang asing di Sabah, adalah dengan mengeluarkan kad pengenalan.

Cadangan berkenaan bagaimanapun menerima kecaman hebat dari kerajaan dan pembangkang serta pemimpin tempatan, termasuk Joseph Pairin Kitingan, yang juga Huguan Siou, atau pemimpin agung masyarakat Kadazandusun Murut (KDM).

Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, mempertahankan cadangan dikemukakan dengan menyatakan kad pengenalan yang dimaksudkan tidak akan digunakan bagi memberi taraf kewarganegaraan mahupun penduduk tetap, namun bertujuan membenarkan warga asing bekerja di Malaysia secara sah, selain anak-anak mereka masuk ke sekolah.

Ketua Menteri Hajiji Noor, kemudian berkata, dokumen disebut Hamzah adalah membabitkan pengeluaran “kad pengenalan warga asing”, yang mana kerajaan Sabah belum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Dalam kenyataan hari ini, Kitingan berkata, sebagai pengerusi, beliau akan mengadakan pertemuan dengan agensi penguatkuasaan, majikan yang mengambil pekerja asing dan juga pemimpin komuniti dan politik bagi mengumpul data sebelum kertas kerja dibentangkan kepada Kabinet untuk perbincangan lanjut.

“Saya meletakkan sasaran tiga bulan bermula hari ini untuk membentangkan kertas kerja kepada Kabinet. Saya berharap dapatan itu diterima semua pihak, terutama rakyat Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.