Dilantik pengerusi agensi negeri, Kitingan berpotensi jejas kredibiliti STAR

Dilantik pengerusi agensi negeri, Kitingan berpotensi jejas kredibiliti STAR

Presiden STAR Jeffrey Kitingan baru-bari ini terima pelantikan sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah.

Jeffrey Kitingan
Sebelum ini, Presiden Jeffrey Kitingan umum STAR akan bertindak sebagai ‘pembangkang yang bertanggungjawab’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Jeffrey Kitingan, berpotensi menjejaskan kredibiliti kepimpinan partinya apabila menerima pelantikan sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), menurut penganalisis.

Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah berkata STAR sebelum ini secara tegas meyatakan komitmen untuk memainkan peranan sebagai pembangkang demi kepentingan rakyat Sabah.

“Penerimaan jawatan dalam agensi kerajaan ini saya lihat sebagai percanggahan prinsip yang mampu menghakis kepercayaan penyokong tegar terhadap ketekalan kata-kata kepimpinan parti ini dalam mendepani dinamik politik di Sabah,” katanya kepada FMT.

Kerajaan Sabah menubuhkan SAMA bagi menyokong pemasaran produk pertanian untuk pasaran domestik serta eksport. Kitingan menerima surat pelantikan daripada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar, pada Jumaat.

“Hal ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa STAR kini berfungsi sebagai rakan strategik kerajaan secara de facto, sekaligus menghentikan peranan kritikal mereka sebagai pembangkang,” kata Syahruddin.

Kitingan mengumumkan STAR akan bertindak sebagai ‘pembangkang yang bertanggungjawab’ meskipun Adun parti itu, Ishak Ayub, mengangkat sumpah jawatan pembantu menteri pada 2 Disember tahun lalu — yang menurut Kitingan bukan hasil rundingan parti. Pada 12 Disember, Kitingan dilapor menegaskan kedudukannya sebagai pembangkang tidak berubah, walaupun STAR menyokong Gabungan Rakyat Sabah menubuhkan kerajaan demi kestabilan.

Syahruddin berpendapat penglibatan Kitingan melenyapkan garis pemisah antara ‘penyemak imbang’ dan ‘pelaksana dasar’.

“Realitinya, tindakan menerima pelantikan selepas berikrar untuk berada di luar kerajaan memberi persepsi negatif bahawa kepentingan jawatan mengatasi integriti ideologi parti,” katanya.

Bilcher Bala, juga dari UMS, berkata Kitingan sebenarnya tidak menonjol sebagai pengkritik lantang terhadap kerajaan negeri.

Katanya, menerima pelantikan sebagai pengerusi SAMA selain merestui pelantikan Ishak memperlihatkan ‘orientasi politik yang lebih pragmatik’ berbanding prinsip semak dan imbang.

“Bagi parti kecil, kelangsungan politik bergantung kepada akses dana dan kuasa untuk membantu pengundi, dan pemimpin pembangkang yang menerima jawatan kerajaan memperoleh kredibiliti baharu sebagai ‘penyampai projek’ atau ‘penghubung sumber’ kepada rakyat.

“Dalam konteks ini, kredibiliti ahli politik pembangkang di Sabah bersifat relatif, iaitu lemah dari segi prinsip tetapi kuat dari segi pragmatisme kerana hayat parti lebih bergantung kepada akses kuasa dan dana berbanding retorik ideologi semata-mata.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.