
Seorang daripada pengasasnya, Cheah Tuck Wing daripada Persatuan Media Era Ketiga Kuala Lumpur dan Selangor berkata, ini berikutan ada banyak keperluan mendesak warga emas yang tidak ditangani dengan sewajarnya.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai terlalu banyak tanggungjawab kerana mereka perlu melihat bukan sahaja hal ehwal warga emas, tetapi juga wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya.
“Oleh itu, satu kementerian khusus sangat diperlukan untuk penyampaian perkhidmatan lebih baik kepada warga emas. Bagi tujuan itu, kami ingin melibatkan kerajaan sebagai rakan kongsi, bukannya pengkritik,” katanya selepas pelancaran MCOA di sini, sambil memetik peningkatan bilangan warga emas sebagai sebab utama.
Cheah berkata, gabungan itu juga memperjuangkan keselamatan sosial dan manfaat serta kemudahan dan infrastruktur awam lebih baik untuk warga emas.
MCOA terdiri daripada sembilan pertubuhan bukan kerajaan, antaranya Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia, Persatuan Kejururawatan Selangor, Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia dan Seniors Aloud.