Warga emas hilang ketika menyelam di Pulau Tenggol

Warga emas hilang ketika menyelam di Pulau Tenggol

Operasi SAR akan disambung semula pagi ini.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Abdul Halim Hamzah berkata mangsa yang sedang menyelam bersama anaknya tidak timbul selepas sejam. (Gambar APMM)
DUNGUN:
Seorang warga emas dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tenggol, dekat sini, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Abdul Halim Hamzah, berkata kejadian pada 4.30 petang itu berlaku ketika Tam Peng Hoong, 66, menyelam bersama anaknya.

“Dimaklumkan, anak mangsa (Tam) telah naik ke permukaan air selepas lima minit menyelam, bagaimanapun mangsa tidak timbul selepas sejam melakukan selaman,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, Sub Pusat Penyelamat Maritim Kuantan, Pahang menerima aduan berhubung insiden itu petang semalam, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 2.10 petang, sembilan minit selepas aduan diterima.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggerakkan bot Penggalang16 ke lokasi kejadian dan Pangkalan Hadapan Carilamat diwujudkan di Kuala Dungun di sini.

Setakat 7 malam Sabtu, katanya, tiada sebarang tanda penemuan lelaki itu dan operasi SAR akan disambung semula pagi ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.