Warga emas maut, isteri parah dipukul dalam kejadian samun di Manjung

Warga emas maut, isteri parah dipukul dalam kejadian samun di Manjung

Polis berkata pasangan itu diserang seorang lelaki di rumah mereka pada pagi semalam.

Hasbullah Abd Rahman
Ketua Polis Manjung Hasbullah Abd Rahman berkata suspek ditangkap pada hari sama dan direman tujuh hari mengikut Seksyen 302 serta Seksyen 394 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya parah selepas dipukul dalam satu kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Melayu, Ayer Tawar di Manjung pada pagi semalam.

Ketua Polis Manjung Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 5.30 pagi membabitkan mangsa yang dipukul dengan menggunakan objek keras, lapor Sinar Harian.

“Jiran mangsa yang terdengar bunyi bising telah datang membantu sebelum membawa pasangan itu yang cedera parah ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa lelaki berusia 84 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Hasbullah berkata, dalam kejadian itu suspek turut melarikan dua telefon bimbit dan sebuah beg duit milik mangsa.

Katanya, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, sepasukan polis daripada Cawangan D9 IPK Perak dan IPD Manjung berjaya menahan suspek lelaki berusia 27 tahun pada hari sama, kira-kira 7.45 malam.

Turut ditemui semula barangan milik mangsa yang dipercayai dilarikan suspek.

“Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 serta Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.