Dakwaan ahli Bersatu tipu tarikh keahlian bermotif serangan politik, kata Peja

Dakwaan ahli Bersatu tipu tarikh keahlian bermotif serangan politik, kata Peja

Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir mendakwa terdapat ahli Bersatu menipu tarikh keahlian demi bertanding dalam pemilihan parti itu, termasuk kemenangan pemimpin tiada pengalaman.

Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu berkata, dakwaan Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir itu tidak disokong fakta.
PETALING JAYA:
Dakwaan terdapat ahli Bersatu menipu tarikh keahlian bagi membolehkan mereka bertanding jawatan dalam pemilihan parti itu tidak berasas dan bermotifkan serangan politik, kata Timbalan Presiden, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, dakwaan Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir itu tidak disokong fakta.

“Saya fikir jika benar berlaku, tentunya beliau akan mengambil tindakan pada ketika itu kerana beliau juga Timbalan Presiden (Bersatu) sebelum pemilihan diadakan.

“Jika tiada tindakan, itu maknanya tiadalah yang berlaku. Jadi, saya yakin beliau sebagai Timbalan Presiden kami ketika itu, tentunya akan ambil tindakan tegas, jika perkara sebegitu berlaku,” katanya dipetik Bernama pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Peja Trophy 2022 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di Tapah.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan Mukhriz mendakwa terdapat ahli Bersatu menipu tarikh keahlian masing-masing semata-mata mahu bertanding sehingga menimbulkan masalah, termasuk kemenangan pemimpin yang tiada pengalaman dalam pemilihan parti itu.

Mukhriz mendakwa tindakan itu berlaku sejurus pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan menyebabkan lembaga disiplin parti “sangat sibuk” kerana terpaksa menumpukan lebih masa untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau mendakwa penipuan tarikh pendaftaran keahlian dalam kalangan ahli Bersatu itu berlaku susulan perlembagaan parti yang menetapkan mana-mana individu mahu bertanding dalam pemilihan dalaman parti perlu mempunyai rekod keahlian lebih setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.