
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarikat terbabit membuat penarikan balik produk berkenaan yang berada di pasaran tempatan secara sukarela serta mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan institusi yang membeli dua produk berkenaan supaya menghentikan penjualan.
“Penarikan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan tindakan penolakan di semua pintu masuk negara ke atas produk terlibat.
“KKM mengambil maklum laporan oleh Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) mengenai isu penemuan bakteria Cronobacter Sakazakii dan Salmonella Newport dalam susu rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan.
Hisham berkata, bakteria Cronobacter Sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup dalam keadaan kering seperti dalam susu rumusan bayi dan boleh menyebabkan meningitis atau sepsis.
Katanya, bagaimanapun ia jarang berlaku dan gejala ditunjukkan oleh bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan.
“Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut perlu menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat.
“Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk mengenal pasti ‘batch’ kod susu rumusan bayi berkenaan serta berhenti menggunakan produk yang terlibat dan memantau kesihatan bayi serta segera mendapatkan rawatan sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum susu rumusan bayi tersebut,” katanya.