Pengawal keselamatan AADK didakwa tipu lelaki untuk bebas tunang

Pengawal keselamatan AADK didakwa tipu lelaki untuk bebas tunang

Tertuduh meminta RM5,500 bertujuan bagi membantu membebaskan tunang seorang lelaki dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Bachok, Kelantan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
PETALING JAYA:
Seorang pengawal keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru atas dakwaan menipu seorang lelaki yang memberi RM5,500 bagi membantu membebaskan tunangnya dari sebuah pusat pemulihan dadah pada 2018.

Bagaimanapun, tertuduh, Maslan Atan, 59, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Kamal Ariffin Ismail, lapor Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di AADK Kota Tinggi didakwa menipu seorang lelaki, Muhammad Azam Mat Hassan, 28, kerana dengan curang mendorong beliau untuk menghantar wang bernilai RM500 menerusi akaun Maybank miliknya.

Ia bertujuan membantu membebaskan, Izzairen Sasli, 25, dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, Kelantan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di mesin juruwang automatik (ATM) Maybank di sebuah stesen minyak di KM 29 Lebuhraya Pasir Gudang, di Johor Bahru, jam 11.10 malam, 12 Okt 2018.

Mengikut pertuduhan kedua pula, dia didakwa menipu Muhammad Azam kerana dengan curang mendorong beliau menghantar wang tunai RM5,000 bagi tujuan sama, di kafe bangunan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di Johor Bahru pada 10 pagi 18 Dis 2018.

Dakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ikhwan Ihsan Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Salleh Tugimin.

Terdahulu, Ikhwan mencadangkan agar mahkamah menetapkan jaminan RM20,000, namun Mohd Salleh Tugiman memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menyara isteri dan anak berusia 21 tahun serta memiliki komplikasi kesihatan termasuk darah tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.