
V Lingkswaran, 25, yang bekerja sebagai penyelia pengangkutan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Norita Mohd Ardani.
Dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap P Navaneshwaran, 24, dan N Laxmi, 29, menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sekolah, Guntong pada 11 malam 19 Feb lalu, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman tidak menawarkan ikat jamin kerana tertuduh tinggal berhampiran dengan kedua-dua mangsa dan kes itu adalah kesalahan berat membabitkan kecederaan parah. Namun peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dia dilarang mengganggu kedua-dua mangsa dan keluarga mereka sehingga kes selesai serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali. Sebutan semula kes ditetapkan 20 April ini.
Media sebelum ini melaporkan empat lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berserta beberapa video tular berhubung kejadian itu.