PRN Johor: Kejayaan Melaka bakal berulang?

PRN Johor: Kejayaan Melaka bakal berulang?

Keretakan dalam pembangkang lebih kelihatan berbanding sebelum ini apabila PKR memutuskan untuk bertanding bawah logo sendiri manakala Pejuang, Warisan dan PBM dijangka menarik undi PH.

Walaupun ramai percaya pilihan raya negeri (PRN) akan menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN), namun kehadiran 700,000 pengundi muda ke dalam daftar pemilih masih boleh membuat kejutan.
PETALING JAYA:
Hari penamaan calon akhirnya tiba, sekali gus menandakan bermulanya pilihan raya negeri (PRN) Johor, biarpun tiga gabungan utama yang cuba merebut kuasa telah memulakan kempen mereka lebih awal.

Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) telah berusaha keras untuk mendekati rakyat Johor sejak Februari dengan mengadakan ceramah di seluruh negeri untuk “meningkatkan kesedaran” mengenai isu semasa.

Namun, Barisan Nasional (BN) akan mengikut jejak kempennya dengan penuh bersemangat susulan kemenangan besarnya dalam PRN Melaka pada November lalu di mana PN dan PH telah cuba dan gagal membentuk kerajaan negeri mereka sendiri.

Sebaliknya, PH akan terkial-kial akibat daripada kekalahan besarnya dalam kedua PRN Melaka dan Sarawak.

BN dan PN akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), begitu juga PH kecuali di enam kerusi selepas DAP dan Amanah memberi laluan kepada pendatang baharu iaitu MUDA.

Salah satu kunci utama di Melaka dan Sarawak adalah peratusan keluar mengundi yang rendah. Ada sesetengahnya menyalahkan pandemik manakala selebihnya mengaitkannya dengan rasa tidak puas hati pengundi terhadap pembangkang.

Ini boleh berulang di Johor. Keretakan dalam pembangkang lebih kelihatan berbanding sebelum ini apabila PKR memutuskan untuk bertanding di bawah lambang sendiri manakala kehadiran Pejuang, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menarik undi yang mungkin pergi kepada PH.

MUDA pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diberi enam kerusi oleh Amanah dan DAP juga gagal mencapai kata sepakat sepenuhnya dengan PKR apabila kedua-duanya akan bertembung sekurang-kurangnya di satu kerusi, Larkin.

Namun semua parti ini, kecuali PBM, bagaimanapun menemui titik persamaan dalam satu perkara – menentang BN.

Salah satu mesej utama yang ditegaskan pesaing BN dalam kempen anti-BN mereka ialah PRN Johor bertujuan membebaskan “kluster mahkamah” pemimpin Umno yang menghadapi pertuduhan jenayah.

BN menjadikan kestabilan – bagi politik dan ekonomi – antara mesej terasnya, merujuk kepada perpecahan dalam pembangkang dan kemelut PH selama 22 bulan dalam kerajaan persekutuan dan negeri.

Tetapi PH berkata BN sendiri tidak mempunyai rekod prestasi cemerlang, merujuk kepada kelemahan pengurusan wabak dan ekonomi di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, termasuk menteri daripada gabungan itu.

Malah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut mengambil kira ekonomi negeri itu, dengan berkata Johor mempunyai pelaburan tertinggi antara negeri lain dari 2016 hingga 2018, sebelum ia mula berkurangan.

PH membentuk kerajaan negeri pada 2018 selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun itu.

Pelbagai senario kali pertama dalam PRN Johor, bermula dari kemunculan MUDA, Pejuang dan PBM bertanding dalam pilihan raya sulung mereka, dan pertaruhan pertama Warisan di Semenanjung. Apa yang paling ketara adalah penyertaan pengundi berumur 18 hingga 20 tahun.

Timbalan Pengerusi BN dan Pengarah pilihan raya Mohamad Hasan berkata pengundi muda perlu menjadi perhatian semua parti kerana tiada petunjuk mengenai cara mereka akan mengundi.

Namun, ramai pemerhati politik percaya keputusan itu akan mengulangi PRN Melaka dan BN akan mengalahkan PH dan PN, walaupun pengundi muda masih boleh membuat kejutan.

Lebih 700,000 pengundi ditambah ke dalam daftar pemilih dan kumpulan mampu menzahirkan pelbagai maksud serta petunjuk menerusi keputusan PRN, meskipun mereka memilih untuk tidak keluar mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.