
Bekas Menteri Kewangan itu memetik pengurangan kadar tol di Lebuhraya Utara-Selatan, pembaharuan dalam pemerolehan, pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dan pemberian bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai antara kejayaan gabungan itu.
Dalam temu bual bersama FMT, Lim berkata: “Terdapat banyak perkara yang kami buat. Kami ada tender terbuka dan simpanan yang kami selamatkan. Kami juga dapat memastikan keadaan fiskal dan kewangan Malaysia tidak menjadi lebih teruk. Kami (juga) dapat mengemukakan pertuduhan terhadap mereka yang terlibat dalam 1MDB, kluster mahkamah. Kami hapuskan GST.”
Lim berkata pentadbiran seterusnya telah mendapat manfaat daripada dasar yang diperkenalkan oleh PH tetapi tidak pernah menambah baik dasar tersebut.
“Sebaliknya, mereka mahu kenakan cukai ke atas pendapatan, perolehan, keuntungan (yang dibuat) di luar negara yang dibawa balik ke Malaysia. Itu sangat memberi kesan kepada rakyat Johor kerana ramai yang bekerja di Singapura, dan banyak syarikat mengaut keuntungan di Singapura. Apabila anda membawa balik wang, mereka akan dikenakan cukai.”
Jelas Lim, beliau percaya pertimbangan politik berada di tangan kerajaan untuk memberikan pengecualian sehingga 2026 ke atas pendapatan individu yang diperoleh di luar negara.
“Jadi, kita mahu pengundi diberi amaran, jika anda sokong kerajaan sekarang, mereka akan kenakan cukai kepada anda, terutamanya jika anda bekerja di Singapura pada masa hadapan.”
Mengulas lanjut mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini, Lim berkata undi pembangkang berpecah, memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Aspek lain adalah peratusan keluar mengundi yang lebih rendah. Sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, saya fikir kita akan menang lebih daripada dua kali ganda jumlah yang telah kita pertahankan.
“Kita perlu meneliti mengapa peratusan keluar mengundi lebih rendah. Kita tidak menafikan ada rasa tidak senang dengan apa yang berlaku.”
Beliau berkata terdapat juga rasa sia-sia dalam kalangan pengundi kerana wakil rakyat boleh melompat tanpa dihukum atau didenda, menunjukkan mengapa pentingnya akta anti lompat parti.