
Ia susulan kenyataan PKR bahawa ia tidak akan meletakkan calon di enam kerusi lain ditandingi MUDA kerana menghormati DAP dan Amanah yang memberi laluan kepada parti baharu itu bertanding di kawasan DUN itu.
Dalam satu sidang media, Lim berkata semua parti harus mengetepikan kepentingan masing-masing untuk memaksimumkan peluang pembangkang menewaskan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Kami menghargai setiap usaha untuk memastikan berlaku perlawanan satu lawan satu. Kita juga menghargai apa yang telah dilakukan PKR yang tidak bertindak balas terhadap MUDA (yang menentang PKR) di Larkin.
“Ini mesti dihargai. Ini juga selari dengan semangat khemah besar oleh Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Ditanya sama ada DAP akan menggunakan jenteranya bagi kempen untuk calon MUDA atau PKR di Larkin, Lim berkata partinya akan berkempen untuk sesiapa saja yang mempunyai peluang baik menewaskan BN atau PN.
“Kita mahu berkempen di kawasan yang kita boleh memaksimumkan peluang calon untuk mengalahkan BN. Dalam hal itu, kita sebahagian daripada PH, itulah realitinya, tetapi lawan utama kita ialah Umno.
“Saya mesti katakan bahawa saya kecewa kerana anda boleh menyelesaikan setiap kerusi kecuali satu, tetapi kita harus melepasi perkara itu. Kita perlu melakukan usaha bersepadu bagi menyatukan kekuatan kami untuk cuba dan membentuk kerajaan di Johor.”
Ahli Parlimen Bagan itu mengulas kenyataan pemimpin Amanah, Khalid Samad pada Jumaat lalu yang berkata parti itu akan menyokong PKR di Larkin memandangkan ia adalah rakan gabungan mereka.
“Saya rasa DAP dan Amanah memainkan peranan masing-masing. Tetapi kami tidak mahu mengulas atau menghakimi orang lain,” kata Lim.
Sementara itu, Setiausaha Agung MUDA Amira Aisya Abd Aziz berkata tiada perbincangan dilakukan antara pemimpin parti supaya calon mereka di Larkin menarik diri daripada bertanding.