
Dalam temubual bersama FMT, Setiausaha Agung DAP itu berkata beliau percaya bahawa Ismail yang juga Naib Presiden Umno, telah terperangkap kerana “ditawan” oleh kluster mahkamah.
Kluster mahkamah merujuk kepada kumpulan pemimpin Umno yang dibicarakan atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, antara lain; pemimpin itu termasuk Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Najib Razak.
“Jika anda lihat kepada kluster mahkamah, mereka membuat keputusan dalam parti (Umno). Mereka mahu mengadakan pilihan raya lebih awal supaya boleh memutuskan siapa calon, bukan hanya untuk PRU15 tetapi barisan Jemaah Menteri dan Perdana Menteri juga,” katanya yang menambah presiden parti yang memberikan watikah (surat pencalonan) kepada semua calon.
“Saya rasa ia begitu jelas bahawa jika pilihan raya mengejut diadakan dan Ismail Sabri bukan Presiden Umno, tidak mungkin beliau akan terus menjadi Perdana Menteri.”
Lim berkata ini bermakna, jika Ismail mahu mengadakan pilihan raya, beliau mungkin menjadi Perdana Menteri yang paling singkat.
“Jadi beliau tidak mahu mengadakan pilihan raya. Beliau (akan) mahu bertahan selama mana yang mungkin dan perjanjian persefahaman (MoU) memberinya ruang untuk bernafas supaya dapat berbuat demikian,” katanya yang merujuk kepada perjanjian politik antara Ismail dan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu apabila pembangkang berikrar tidak akan menyebabkan keruntuhan kerajaan Ismail.
Lim juga berkata, prestasi buruk Ismail sebagai Perdana Menteri menjadi satu lagi sebab mengapa beliau tidak mungkin mengadakan pilihan raya mengejut.
Jika Ismail bercita-cita untuk terus menjadi Perdana Menteri, beliau perlu mempunyai sesuatu untuk ditunjukkan.
Bagaimanapun, Lim berkata Ismail “telah gagal secara berterusan”, berdasarkan cara beliau menguruskan pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
“Beliau tidak menunjukkan sebarang kejayaan yang luar biasa berbanding pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum ini,” katanya.