Pertembungan MUDA-PKR tak beri kesan kepada PH, kata penganalisis

Pertembungan MUDA-PKR tak beri kesan kepada PH, kata penganalisis

Penganalisis berkata parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) semakin terpisah sama ada dengan kehadiran MUDA atau tidak

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bersama dua calon MUDA dalam pilihan raya negeri Johor: Calon kerusi DUN Larkin Rasid Abu Bakar (kiri) dan Machap, R Sangaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pertembungan MUDA dan PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan memberi sedikit kesan kepada Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan parti komponennya berpecah, kata penganalisis.

“Semua parti ini secara nominalnya masih sebahagian daripada PH, tetapi semakin berpisah, dengan atau tanpa MUDA,” kata Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

“Perbalahan dalam PH sudah menjadi rahsia terbuka,” katanya.

Katanya, perbezaan yang dihadapi antara parti komponen PH dengan MUDA hanya menyerlahkan lagi keadaan itu dan “bukan perkara yang mengejutkan” untuk PKR menggunakan lambangnya berbanding PH.

PKR akan menggunakan lambangnya sendiri dalam PRN Johor manakala Amanah dan DAP akan bertanding di bawah lambang PH.

MUDA dan PKR bersedia untuk bersaing di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin selepas MUDA memperkenalkan Rasid Abu Bakar sebagai calonnya. PKR pada 14 Feb lalu pula mengumumkan Dr Zamil Najwah Arbain akan bertanding mewakili parti itu di kerusi itu.

Ketika PKR mempunyai isu dengan MUDA, DAP dan Amanah pula menawarkan enam kerusi untuk ditandingi oleh parti baharu itu pada PRN Johor.

PKR berkata ia tidak akan meletakkan calon di semua enam kerusi itu kerana menghormati rakan komponennya dan langkah berkenaan dipuji oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sambil berkata, ia selari dengan “semangat khemah besar” PH.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, beliau percaya “status quo dalam PH akan kekal” biarpun berlaku pertembungan antara MUDA dan PKR.

“PKR, DAP dan Amanah akan terus bekerjasama,” katanya.

“Cuma terdapat sedikit protes daripada penyokong Amanah dan DAP berhubung tindakan PKR menggunakan lambang sendiri di Johor dan menerima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno di Melaka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.