Polis siasat kes pemandu van kena pukul

Polis siasat kes pemandu van kena pukul

Ketua Polis Daerah Serdang A A Anbalagan berkata siasatan dilakukan selepas pihaknya mengesan rakaman video yang tular di Facebook, semalam.

Rakaman video tular berdurasi 21 saat menunjukkan seorang pemandu van dipukul.
PETALING JAYA:
Polis membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian seorang pemandu van dipukul dalam kejadian di PUJ 3, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, yang tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang A A Anbalagan, pihaknya mengesan rakaman video tular berdurasi 21 saat di Facebook, semalam.

“Video menunjukkan seorang lelaki menaiki Proton Saga BLM memukul seorang pemandu van berwarna putih.

“Lelaki itu juga dilihat mengeluarkan kata-kata ‘nak lagi tak, nak lagi tak’ sambil menumbuk mangsa beberapa kali dan menarik keluar mangsa dari van sehingga jatuh ke tengah jalan,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Harian Metro.

Katanya, polis belum dapat mengenal pasti punca kejadian kerana sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan berhubung kejadian itu.

“Kami memohon kerjasama individu yang terlibat dalam kejadian ini atau orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sophian Sian di talian 016-5092654 atau Bilik Gerakan IPD Serdang di talian 03-80742222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.