Malaysia peroleh semula RM19.14 bilion dana 1MDB setakat 31 Jan

Malaysia peroleh semula RM19.14 bilion dana 1MDB setakat 31 Jan

Kementerian Kewangan berkata, semua dana itu dimasukkan ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.

Kementerian Kewangan berkata, sebahagian besar dana 1MDB itu diperolehi semula daripada lima sumber utama. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan mengumumkan jumlah dana berkaitan 1MDB yang telah diperolehi semula sehingga 31 Jan 2022 bernilai kira-kira RM19.14 bilion.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, kementerian itu berkata, dana tersebut dimasukkan ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AA MKA).

Katanya, sebahagian besar dana diperolehi itu daripada lima sumber utama merangkumi USD1.23 bilion atau RM5.17 bilion daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) dan USD2.5 bilion (RM10.5 bilion) daripada Goldman Sachs, sebagai sebahagian jumlah penyelesaian yang dimuktamadkan pada Julai 2020 dan dikreditkan pada September 2020.

“Sebanyak USD80 juta atau RM336 juta diterima daripada Deloitte, hasil penyelesaian global pada 24 Mei 2021 (dikreditkan pada Jun 2021); RM2.315 bilion daripada AmBank hasil penyelesaian global pada 5 Mei 2021 (dikreditkan pada Julai dan Disember 2021) dan USD80 juta atau RM336 juta daripada KPMG hasil penyelesaian global pada 16 Dis 2021 (dikreditkan pada Januari 2022),” menurut kementerian itu.

Dalam pada itu, katanya, 1MDB telah melantik Parker Randall sebagai juruaudit untuk melaksanakan pengauditan ke atas penyata kewangan syarikat, termasuk aset dan liabilitinya.

Bagaimanapun, laporan penyata kewangan beraudit terkini belum dapat dimuktamadkan kerana juruaudit lama, iaitu KPMG (2010, 2011 dan 2012) dan Deloitte (2013 dan 2014) menarik balik laporan dan pandangan mereka terhadap penyata kewangan syarikat.

“Justeru, jumlah kerugian sebenar 1MDB pada masa ini tidak dapat ditentusahkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.