
Pua memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa beberapa dakwaan Najib itu boleh dilihat sebagai penghinaan kepada Ahli Parlimen.
“Secara spesifiknya, tidak ada satu sen prinsipal hutang 1MDB pernah dibayar oleh kerajaan. Ini adalah palsu kerana kerajaan telah membayar RM8.8 billion prinsipal dan faedah semasa beliau menjadi Menteri Kewangan,” katanya.
Pua berkata, usul supaya Najib dirujuk kepada jawatankuasa itu telah dihantar ke pejabat Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon, berkata Azhar akan mempertimbangkan usul itu dan memberikan jawapan kemudian.
Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memberitahu Dewan Rakyat bahawa dakwaan Najib yang kerajaan tidak membayar balik jumlah prinsipal adalah “tidak berasas” kerana bon itu masih belum matang ketika itu.
Menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan), Tengku Zafrul berkata baki komitmen kerajaan adalah antara RM38.5 bilion dan RM38.8 bilion, dengan RM32.3 bilion pada prinsipal dan RM6.5 bilion faedah.
Pua turut menyenaraikan tiga isu lain yang dirasakannya Najib telah mengelirukan Dewan Rakyat semalam, termasuk dakwaannya bahawa 1MDB membantu kerajaan menjimatkan RM50 bilion apabila ia mengambil alih penyelesaian “perjanjian berat sebelah” dengan pengeluar tenaga bebas (IPP).
“Ini adalah palsu kerana IMDB telah mengambil alih IPP dengan harga terlalu tinggi yang menyebabkan kerugian berbilion-bilion ringgit. 1MDB rugi 50 billion, bukan untung 50 billion,” katanya.
Pua juga menyatakan bagaimana Najib memberitahu penjimatan RM50 bilion ini adalah salah satu sebab rizab tunai Petronas meningkat daripada RM30 bilion kepada RM176 bilion pada 2018.
“Rizab petronas langsung tidak berkaitan dengan sebarang IPP, sama ada ia diambil alih oleh 1MDB ataupun tidak diambil alih, rizab petronas adalah wang petronas sendiri,” katanya.
Beliau juga berkata, ia tidak benar bahawa Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion seperti didakwa Najib semalam, dan jumlah terbabit adalah nilai pembangunan kasar dan nilai tanah itu adalah RM9 hingga 12 bilion.
Menurutnya, sebagai bekas Menteri Kewangan, Najib sepatutnya tahu apa itu fakta, tetapi sengaja mengelirukan Dewan Rakyat.
Katanya, ia menghina Dewan Rakyat dan Najib cuba menyelamatkan diri di pentas politik.
Lim kemudian menambah bahawa Tengku Zafrul telah menyangkal dakwaan Najib bahawa tiada satu sen pun dana awam digunakan untuk membayar balik jumlah prinsipal 1MDB, sambil menegaskan bahawa “tiada alasan” untuk tidak merujuk Najib kepada jawatankuasa itu.
“Saya tidak mahu menyebut bahawa dia telah didapati bersalah (di mahkamah) dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta… tetapi dalam dewan yang mulia ini, jangan berbohong dan menipu.”
Kemudian, pada satu sidang media, Pua berkata beliau berharap Azhar boleh membuat keputusan yang adil mengenai usul terhadap Najib.
“Kami harap Speaker boleh merujuknya (Najib) kepada jawatankuasa supaya beliau berpeluang untuk menjawab,” katanya.