
Bercakap kepada FMT, Steven berkata, beliau sebenarnya dipecat daripada PKR tahun lepas dan bukan ahli mana-mana parti selama “sekurang-kurangnya lapan bulan” sebelum membentuk PBM dengan seorang lagi bekas ahli PKR, Larry Sng.
Choong adalah calon PBM untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Beliau dan Sng, yang juga Ahli Parlimen Julau, dipecat pada 28 Feb tahun lepas kerana menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin.
Katanya, beliau tidak pernah mengkritik PKR atau kepimpinannya sebelum dipecat. “Saya tidak mengadakan sebarang sidang akhbar atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan saya hilang keyakinan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim.”
Beliau mendakwa PKR, sebelum memutuskan untuk memecatnya, sudah bercadang menggugurkannya daripada senarai calon pada pilihan raya umum akan datang. “Saya akan dipaksa bersara sebaik sahaja penggal saya tamat dan saya tidak lagi dapat berkhidmat kepada rakyat.”
Beliau berkata, sebab utama beliau mengisytiharkan sokongannya kepada Muhyiddin adalah kerana mahu terus berkhidmat dengan baik kepada rakyat Tebrau. “Mengisytiharkan sokongan kepada Muhyiddin membolehkan saya mendapat akses kepada sumber kerajaan, agensi dan menteri.”
Tambahnya lagi, beliau kecewa dengan kesukaran yang dialaminya ketika bertugas sebagai Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) susulan Langkah Sheraton. “Saya tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.”
Beliau menambah: “Saya lebih gembira sekarang kerana mempunyai akses kepada menteri. Itu membolehkan saya membantu orang ramai dengan lebih baik.”
Steven bertanding di Puteri Wangsa berdepan calon Barisan Nasional (BN) Ng Yew Aik, calon Perikatan Nasional (PN) Loh Kah Yong, Amira Aisya Abd Aziz (MUDA), Khairul Anwar Razali (Pejuang) dan calon Bebas Adzrin Adam.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 50% pengundi di Puteri Wangsa berbangsa Cina. Melayu menyumbang kepada 39% pengundi dan India 10%.