Thomas selaras siasatan terhadap suami Zeti pada 2018, kata SPRM

Thomas selaras siasatan terhadap suami Zeti pada 2018, kata SPRM

SPRM berkata bekas Peguam Negara Tommy Thomas pada hujung 2018 telah menyelaraskan siasatan antara suruhanjaya itu dan polis berhubung kes membabitkan Tawfiq Ayman.

Fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan Pejabat Peguam Negara (AGC), pada 2018, yang bertindak mengarahkan polis menyiasat suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

Katanya, bekas Peguam Negara Tommy Thomas, pada hujung 2018 telah menyelaraskan siasatan antara SPRM dan polis, berhubung kes membabitkan Tawfiq Ayman.

“Fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB, termasuk sejumlah USD15.4 juta, yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, milik Tawfiq,” katanya dalam kenyataan.

“Manakala, AGC telah mengarahkan polis untuk menumpukan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang tersebut ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura dan siasatan masih berjalan sehingga kini.”

Tawfiq Ayman.

Kenyataan SPRM dikeluarkan susulan persoalan berhubung keputusan SPRM menyerahkan siasatan kes membabitkan Tawfiq kepada polis.

SPRM berkata, idea menyerahkan kes Tawfiq itu kepada polis bagi mengelak pertindihan siasatan selaras arahan AGC.

Katanya, penyelarasan itu penting kerana membabitkan pengumpulan bukti dan keterangan mereka yang terlibat, serta memudahkan untuk berurusan bersama pihak Singapura, yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

“Sehubungan itu, tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan tersebut seperti dibangkitkan oleh segelintir pihak,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata agensi terbabit tidak menyiasat Tawfiq, yang mana syarikatnya di Singapura dikatakan menerima dana berkaitan 1MDB daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Azam memberitahu pemberita pada Selasa, SPRM diarah untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura dan siasatan terhadap Tawfiq diserahkan kepada polis.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.