Beri peluang jadi ADUN, lebih banyak akan saya lakukan di Layang-Layang, kata Maszlee

Beri peluang jadi ADUN, lebih banyak akan saya lakukan di Layang-Layang, kata Maszlee

Bekas Menteri Pendidikan itu mahu menjadikan Layang-Layang pusat tarikan pelancongan tempatan dan lebih dikenali di mata dunia.

Maszlee Malik berkata beliau akan melakukan lebih banyak perubahan sekiranya diberi peluang memenangi kerusi DUN Layang-Layang pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.
SIMPANG RENGGAM:
Calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Maszlee Malik berkata, beliau akan melakukan lebih banyak perubahan sekiranya diberi peluang memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, ini berikutan perubahan demi perubahan telah dibawanya di Simpang Renggam sebagai Ahli Parlimen, dengan isu paling besar berjaya diselesaikan ialah masalah gangguan bekalan air bersih dan pencemaran udara.

“Pertama saya bersama mereka sebagai wakil mereka di Parlimen, perjuangkan isu-isu berkaitan mereka dari segi nasional. Kini, saya meminta diberi kepercayaan untuk mewakili mereka dalam DUN pula,” katanya ketika ditemui FMT di Pusat Khidmatnya di Simpang Renggam pada Rabu.

Maszlee mewakili PKR dan bekas ADUN Layang-Layang, Ab Mutalip Abd Rahim daripada Barisan Nasional (BN) akan bertanding dalam pertembungan empat penjuru di DUN itu pada PRN Johor. Dua lagi calon muka baharu ialah kontraktor sivil, K Alagathiran mewakili Perikatan Nasional (PN) dan aktivis, Ahmad Shafiq Othaman selaku calon Pejuang.

Maszlee berkata, beliau mahu menjadikan Layang-Layang sebagai pusat tarikan pelancongan tempatan dan lebih dikenali di mata dunia.

Katanya, jika Kluang dikenali sebagai ‘Kluang Rail Coffee’ atau kopi stesen kereta api, beliau juga mahu Layang-Layang dikenali dengan ‘Layang-Layang Rail Coffee’.

“Kita juga tidak boleh ketepikan unsur warisan seperti adanya stesen kereta api lama di Renggam dan Layang-Layang. Memang saya telah memulakan usaha untuk jadikannya tapak dan kita juga ingin Layang-Layang satu hari nanti dikenali sebagai ‘Layang-Layang Rail Coffee’,” katanya.

Maszlee juga berkata, sepanjang menjadi Ahli Parlimen di Simpang Renggam pelbagai pembaharuan telah dilakukan di kawasannya, antaranya membawa masuk universiti pertama, iaitu Open University Malaysia (OUM), kolej komuniti dan restoran McDonald’s.

“Walaupun (bekas Perdana Menteri) Najib Razak pernah ‘troll’ bila saya kata McDonald’s telah berjaya masuk di Simpang Renggam, bagi anak muda dan peniaga serta masyarakat, ia satu perkara besar,” katanya.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, beliau juga dalam proses membawa masuk Starbucks dan lain-lain “outlet” ke Simpang Renggam yang pasti membuka peluang pekerjaan dan lonjakan ekonomi setempat.

Fokus menang PRN Johor daripada jadi calon MB PH

Sementara itu, ketika ditanya sekiranya beliau dicalonkan menjadi Menteri Besar Johor untuk PH akan menimbulkan kekecewaan dalam kalangan ahli gabungan itu, Maszlee menjawab masih terlalu awal untuk mengulasnya.

Katanya, beliau setakat ini belum menerima apa-apa kenyataan rasmi mengenai calon Menteri Besar Johor untuk PH dan mahu menumpukan usaha memenangi PRN Johor.

“Fokus kita waktu ini adalah untuk memenangi PRN Johor. Apapun tanggungjawab diberikan, saya akan galas amanah tersebut sebaik mungkin demi rakyat dan kita akan utamakan rakyat,” katanya.

Mengenai pertembungan kerusi PKR dan MUDA di DUN Larkin, beliau berkata, lebih wajar isu itu diselesaikan antara presiden kedua-dua parti, iaitu Anwar Ibrahim dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya hanyalah anggota biasa parti. Saya kira, soalan rundingan kerusi dan sebagainya (biarlah) diselesaikan oleh kepimpinan negeri dan juga oleh Majlis Presiden PH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.