Leissner pegawai penting Goldman berhubung 1MDB, bukan Ng, kata peguam bela

Leissner pegawai penting Goldman berhubung 1MDB, bukan Ng, kata peguam bela

Bekas pegawai bank itu bukan sahaja memainkan peranan penting dalam kapasitinya sebagai kakitangan Goldman yang cekap, malah menerusi hubungan peribadinya, kata Marc Agnifilo.

Peguam kepada Roger Ng berkata, Tim Leissner (kiri) menggunakan keintimannya dengan wanita dan hubungan yang dipupuknya untuk mencapai perjanjian berkaitan 1MDB.
NEW YORK:
Peguam kepada Roger Ng berkata, Tim Leissner adalah pegawai bank Goldman Sachs Group Inc yang membina hubungan “penting” dalam skandal 1MDB, bukan anak guamnya.

Marc Agnifilo berkata, itulah sebabnya pemeriksaan balasnya terhadap Leissner sering menyentuh kehidupan peribadi pegawai bank itu.

Ng dituduh bersubahat melanggar undang-undang antipengubahan wang haram Amerika Syarikat membabitkan dana 1MDB.

“Pendirian kami adalah semua hubungan yang dibinanya bersifat strategik,” kata Agnifilo.

“Leissner memainkan peranan penting, bukan sahaja dalam kapasitinya sebagai kakitangan Goldman yang cekap, malah dalam hubungan peribadinya.”

Ng dituduh bersubahat dengan Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam skim untuk memberi rasuah kepada pegawai-pegawai rasmi di Malaysia dan Abu Dhabi dan menyelewengkan ratusan juta dolar daripada 1MDB.

Leissner, yang mengaku bersalah pada 2018, adalah saksi utama kerajaan dalam perbicaraan Ng, yang disifatkannya sebagai mengekalkan hubungan Goldman dengan Ng dan yang lain.

Bagaimanapun, menurut Ng, Leissner, iaitu bekas bosnya, menerajui hubungan-hubungan tersebut.

Agnifilo mengemukakan hujah untuk memasukkan sebagai keterangan e-mel antara Leissner dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd Rohana Rozhan, yang juga “kekasih gelap” Leissner.

“Ia relevan, memandangkan Leissner memberi keterangan bahawa Ng yang mempunyai ‘hubungan penting’ untuk membantu mencapai perjanjian-perjanjian terbabit,” kata Agnifilo.

Leissner “membabitkan Roger dalam semua ini sedangkan dia yang menggunakan kaitannya. Kadangkala, dia menggunakan keintiman”, katanya.

Hakim berkata, beliau akan mempertimbangkan sama ada akan membenarkan keterangan tersebut sebelum membuat keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.