
Beliau berkata ramai tidak faham latar belakang, sejarah perkongsian kuasa dalam pemilihan kerjasama, usahasama politik MCA dengan Umno.
Katanya, beliau merasakan ramai yang masih tidak faham latar belakang dan sejarah penubuhan MCA selain sejarah perkongsian kuasa parti itu.
“Kalau kita lihat dalam pemilihan kerjasama usahasama politik MCA dan Umno ketika itu, peratusan pengundi Cina hanya 11%. Kerusi yang diberi kepada MCA adalah 29% ketika itu. Ini bermakna apa. DNA MCA bukan semata-mata untuk dapatkan sokongan Cina sahaja.
“Seperti kata pengasas kita, Tan Cheng Lock iaitu ‘MCA fight for Malays’. Pada semua orang Malaya, bermaksud kita memikirkan soal kepentingan negara,” katanya kepada FMT ketika ditemui Rabu lalu di Pusat Khidmatnya di Yong Peng.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah MCA selaku parti berasaskan kaum Cina akan kekal relevan apabila melihat statistik penduduk menunjukkan rakyat berketurunan Cina semakin mengecil dan manakala rakyat berketurunan Bumiputera semakin besar.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata walaupun MCA mewakili masyarakat Cina, tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana Barisan Nasional (BN) dapat harmonikan segala keputusan secara bersama.
“Betul masing-masing mewakili komuniti tetapi apa lebih penting dalam keputusan parti yang dulu namanya Perikatan kemudian menjadi BN, bagaimana mereka dapat harmonikan segala mungkin suara-suara berlainan, tetapi akhirnya jadi satu keputusan bersama,” katanya.
Wee juga menasihatkan pengundi di Johor memilih kerajaan negeri yang stabil dan BN mempunyai kelainan berbanding parti lain.
Beliau berkata apapun istilah diberi di Johor seperti “Semangat Bangsa Johor”, “Makmur Johor” dan “Muafakat Johor” itu adalah cerminan masyarakat majmuk di negeri itu kerana setiap kawasan di negeri itu masing-masing memiliki komposisi kaum yang berlainan.
“Seperti contoh kerusi ditandingi Umno ada 26% hingga 40% orang Cina. Begitu juga kawasan Melayu, mungkin ada 50% orang Cina. Ini cerminan masyarakat majmuk di Johor,” katanya.
Beliau juga berkata masyarakat Cina mementing dua aspek iaitu pembangunan ekonomi dan pendidikan.
“Tanpa penjanaaan kekayaan melalui pembangunan ekonomi maka semua dalam keadaan susah, peluang pekerjaan kurang, peluang orang muda tak ada dan kita tidak dapat mencipta kekayaan pada negara kita
“Ada menghantar anak mereka ke sekolah atau kolej swasta. Jadikan agenda pendidikan sangat penting. Jadi apabila maju dalam pendidikan termasuk TVET dan vokasional akan memberi bekalan tenaga kerja lebih berkemahiran dan berdaya saing yang tinggi,” katanya.