Muhyiddin tak yakin dengan calon MB sendiri, kata Shahrir

Muhyiddin tak yakin dengan calon MB sendiri, kata Shahrir

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru berkata tindakan Muhyiddin Yassin mengumumkan dirinya sebagai penasihat ekonomi Johor jika menang PRN memberi isyarat tiada keyakinan dalam kalangan calon PN.

Shahrir Abdul Samad berkata, langkah menamakan calon Menteri Besar amat penting kerana parti yang bertanding mempunyai tujuan untuk membentuk kerajaan negeri. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kegagalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengumumkan calon Menteri Besar gabungan itu lebih awal menunjukkan beliau tidak mempercayai 56 calon yang diketengahkan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Shahrir Abdul Samad berkata, tindakan Muhyiddin mengumumkan dirinya sebagai penasihat ekonomi Johor sekiranya PN memenangi PRN itu turut memberi isyarat tiada keyakinan terhadap kalangan calon PN yang bertanding.

“Semua orang bertanding kena tunjukkan keyakinan kemenangan, itu biasalah. Tetapi dalam pilihan raya, perlu membentangkan calon-calonnya siapa yang bakal diangkat menjadi Menteri Besar, siapa yang hendak memberi kepemimpinan.

“Jangan jadi macam dahulu, dua orang menjadi Menteri Besar daripada parti sama kemudian kedua-duanya gagal sebagai Menteri Besar,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau turut menyifatkan tindakan Muhyiddin itu sebagai tidak yakin kepada rakan sekutunya PAS dan juga parti yang diketuainya sendiri, iaitu Bersatu.

Shahrir berkata, langkah menamakan calon Menteri Besar amat penting kerana parti yang bertanding mempunyai tujuan untuk membentuk kerajaan negeri.

“Siapa akan menjadi pemimpin jika mereka menang pilihan raya Johor? Takkan beliau (Muhyiddin) hanya menyatakan menjadi penasihat ekonomi boleh memberikan keyakinan kepada pengundi, ia tidak munasabah.

“PN yang bertanding sama jumlah kerusi dengan BN tidak tahu siapa jadi Menteri Besar. Hanya tawaran Muhyiddin sebagai penasihat ekonomi, ini maknanya 56 campur satu untuk ‘standby plus one’,” kata Shahrir.

Terdahulu, BN Johor mengetengahkan Hasni Mohammad sebagai calon Menteri Besarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.