
Ketika menjawab dakwaan Wong Chen dari PKR, Ulya berkata, bekas Pengerusi PH itu tidak sepatutnya dipersalahkan kerana reformasi adalah tanggungjawab bersama.
“Biar saya ingatkan anda, Wong Chen, Mahathir tidak pernah meninggalkan agenda reformasi. Beliau komited terhadap agenda itu dan fokus untuk mengubah banyak perkara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ulya berkata, sebuah jawatankuasa kerja, yang turut melibatkan pemimpin PH, ditubuhkan bagi menunaikan manifesto PH seperti dicadangkan.
Katanya, tidak adil untuk menyalahkan Mahathir dan beliau menuntut Wong Chen berhenti menunding jari serta mengakui kesalahan sendiri.
Terdahulu, FMT melaporkan Wong Chen, yang juga Ahli Parlimen Subang berkata, kurangnya iltizam politik daripada bekas Perdana Menteri itu membantutkan reformasi yang dilaksanakan ketika PH berkuasa selama 22 bulan.
Beliau berkata, menteri sekadar menjadi “watak sampingan atau sekunder kepadanya”.
“Jadi, anda benar-benar perlu bertanya kepada Dr Mahathir, kenapa beliau tidak (melaksanakan) reformasi dalam tempoh 22 bulan yang kita ada,” kata Wong Chen.