
Menjawab soalan tambahan Wong Chen (PH-Subang), beliau berkata Malaysia tidak mengiktiraf atau mempercayai sekatan sebelah pihak atau sekatan ‘unilateral’ yang dilaksanakan oleh beberapa negara terhadap Rusia, dan berpendapat ia harus melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Prinsip kita (Malaysia), kita tidak percaya kepada sekatan unilateral. Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB kita sudah mencadangkan bahawa pertama kita minta genjatan senjata, kedua kita minta rundingan diteruskan dan sekiranya perlu sekatan boleh dilaksanakan.
“Tetapi kita belum sampai tahap tersebut, hakikatnya sekiranya ia perlu dibuat, sekatan harus melalui PBB,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Wong dari PKR bertanyakan sama ada Malaysia akan mengenakan sekatan terhadap Rusia memandangkan konflik yang semakin meruncing antara kedua-dua negara itu.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan, walaupun sekatan dilihat mampu memberi tekanan kepada Rusia, ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat yang tidak berdosa jika tidak dilaksanakan dengan betul.
“Kita perlu hati-hati dengan sekatan ini kerana ada waktu sekatan dikenakan tapi tak bersasar, yang kena adalah rakyat yang tak berdosa.
“Jadi kita harus berhati-hati dalam soal sekatan walaupun ia antara senjata ampuh yang boleh digunakan,” katanya.
Menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang masih terkandas di Ukraine, Saifuddin memaklumkan terdapat empat rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kyiv masih berada di negara bergolak itu.
“Seramai 13 rakyat Malaysia telah meninggalkan Ukraine dari 14 Feb hingga 26 Feb, sementara sembilan lagi termasuk dua kakitangan kedutaan sudah meninggalkan Kyiv,” katanya.
“Berdasarkan maklumat kita sekarang, terdapat empat rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan masih berada di Ukraine, antaranya mereka yang berkahwin dengan rakyat tempatan.”
Terdahulu, Saifuddin menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di luar negara khususnya di negara konflik untuk mendaftar dengan kedutaan Malaysia bagi memudahkan mereka dikesan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Sentiasa ingatkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mendaftar tetapi kelaziman memang begitu, bila berlaku bencana…ada masalah, baru mereka secara sukarela mendaftar (dengan kedutaan),” katanya.
Susulan perang Rusia-Ukraine bermula sejak 23 Feb lalu, beberapa negara kuasa besar melaksanakan sekatan ekonomi terhadap Rusia termasuk Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, negara anggota G7, dan Singapura.